Ahad, 25 Oktober 2015

Dengupan jantung saya seakan terhenti – Anina

 
Dia menyangkakan Perdana Menteri akan mengakui kesilapannya dalam mentadbir negara tetapi jangkaan itu meleset.


Anina-Saaduiddin,-najib


PETALING JAYA: Dengupan jantung Anina Saadudin seakan terhenti apabila dia mendengar Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan ‘saya manusia biasa yang ada kekurangan’ ketika membentangkan Bajet 2016 pada Jumaat.

Sangka Anina, Perdana Menteri akan mengakui kesilapannya dalam mentadbir negara sehingga menimbulkan banyak masalah kepada rakyat.

Bagaimanapun dia kecewa kerana sangkaan itu meleset sama sekali.

Baginya, sikap Najib yang enggan mengakui kesilapan itu seolah-olah mendabik dada dan menganggap beliau pemimpin terbaik yang pernah negara miliki.

“Jantung saya seakan berhenti berdegup disaat Najib mengucapkan beliau adalah manusia biasa yang ada kekurangan.

“Ketika itu saya fikir beliau akan mengakui kesilapannya dalam pentadbiran, namun saya kecewa kerana ia hanya sebaris ayat,” katanya kepada FMT.

Dia yang dipecat UMNO kerana memfailkan saman terhadap Najib turut mengulas Bajet 2016 yang didakwanya mengulangi skrip yang sama tahun lalu.

Katanya, Najib masih mengutamakan prinsip “cash is king” sebagai gula-gula kepada rakyat tanpa menumpukan kepada kesejahteraan rakyat.

“BRIM diteruskan, angkanya ditingkatkan beberapa puluh sen sehari dan jumlah penerima dipertingkatkan dengan kumpulan pendapatan yang diperluaskan.

“Impaknya tidak mampu mengubah hidup rakyat untuk jangkamasa panjang. Hanya gula-gula yang cair sekelip mata dalam mulut. Ia hanya memberi kesan emosi sementara untuk penerima tetapi tidak mampu mengubah kehidupan,” jelasnya.

Anina juga meluahkan kekecewaanya apabila isu 1MDB dan RM2.6 bilion tidak diperjelaskan oleh Najib.
Katanya, rakyat sudah tidak dapat menerima Bajet 2016 itu kerana mereka sememangnya masih diselubungi skandal berbilion-bilion yang dikaitkan dengan Najib.

“Ia isu besar dalam kesejahteraan ekonomi negara. Najib ada menyentuh tentang musuh-musuh yang kononnya cuba menjejaskan imej negara, tetapi beliau tidak langsung menyentuh tentang perkara pokok yang mendasari kritikan dari pihak yang kononnya dilabel sebagai musuh tersebut.

“Ia sepatutnya medan keemasan untuk melegakan hati rakyat…Rakyat tidak akan dapat menghadam bajet yang beliau bentangkan,” katanya.

Tiada ulasan: