Isnin, 19 Oktober 2015

DAP serah undi tidak percaya kepada Wan Azizah

 
Selaku satu usul yang serius membabitkan masa depan negara, ia tidak boleh dibentang dengan sewenang-wenangnya.


pakatan-harapan


KUALA LUMPUR: DAP hanya akan menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sekiranya ia dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, selaku satu usul yang serius membabitkan masa depan negara, ia tidak boleh dibentang dengan sewenang-wenangnya.

Atas faktor itu, ia perlu dibuat oleh Ketua Pembangkang.

“Usul itu amat penting, semua komponen parti dalam pembangkang perlu mengambil serius untuk memastikan ia dibentang di dalam Parlimen,” katanya.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan terlibat dengan usul undi tak percaya jika ia tidak dianggap serius.

“Ini bukan hal main-main, ia bukan seperti main guli, tetapi jika anda mahu menjejaskan usul itu seperti main guli, maka teruskan. DAP tidak akan terlibat.

“Usul yang tidak dibawa oleh Ketua Pembangkang, memberikan persepsi tidak yakin usul itu akan diluluskan.

“Anda perlu menghormati Ketua Pembangkang. Beliau mewakili semua pembangkang. Jadi jangan bermain dengan perkara ini,” katanya lagi.

Sebelum ini Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan-Hee Loy Sian mencadangkan akan mengusulkan undi tak percaya terhadap Najib di Parlimen.

Tiada ulasan: