Rabu, 14 Oktober 2015

Dakwa pengkritik 1MDB dorong siasatan antarabangsa, kata wartawan veteran

THE MALAYSIAN INSIDER



Bekas ahli Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, didakwa pada Isnin kerana mensabotaj sistem perbankan dan perkhidmatan kewangan negara selepas membuat laporan mengenai 1MDB. – Gambar The Malaysian Insider, 14 Oktober, 2015.Bekas ahli Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, didakwa pada Isnin kerana mensabotaj sistem perbankan dan perkhidmatan kewangan negara selepas membuat laporan mengenai 1MDB. – Gambar The Malaysian Insider. 
 
 
Menganiaya seorang bekas anggota Umno dan peguamnya kerana kempen mereka menentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh merangsang agensi antarabangsa dalam siasatan yang mereka sendiri sedang jalankan ke atas firma bermasalah itu dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin.

Bekas ketua pengarang akhbar pro Umno The New Straits Times itu berkata, ini boleh membuatkan lebih banyak akaun bank dan aset, termasuk rumah kediaman, dibekukan di negara-negara seperti Singapura, Hong Kong, Switzerland, United Kingdom, Perancis dan Amerika Syarikat.

Sesetengah agensi di negara-negara ini sudah pun memulakan siasatannya sendiri terhadap 1MDB, manakala bekas ahli Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, juga sebelum ini membuat laporan dengan pihak berkuasa asing itu.

“Negara-negara seperti Singapura dan Switzerland serta Hong Kong amat tegas mengenai jenayah rasuah dan pembersihan wang haram manakala Amerika Syarikat sangat tegas terhadap pakatan untuk menipu (conspiracy to defraud),” kata beliau dalam posting terbaru di blognya The Scribe. 
 
Khairuddin, 53, dan peguamnya Matthias Chang, 65, didakwa pada Isnin di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan kerana mensabotaj sistem perbankan dan perkhidmatan kewangan negara.

Namun, bagi ramai rakyat jelata, Khairuddin dan Chang adalah syuhada politik, kata Kadir.

Beliau yakin tindakan terbaru peguam negara akan memberi keberanian kepada pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mempunyai integriti untuk tidak tunduk kepada ugutan.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum ini menolak cadangan pakar BNM untuk memulakan prosiding jenayah terhadap 1MDB dan pada masa sama meluluskan pendakwaan Khairuddin dan Chang.

"Alhamdulillah, kita mula melihat makin ramai petugas awam kanan seperti Gabenor BNM (Tan Sri) Zeti Akhtar Aziz, bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Abdul Hamid Bador dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru bersara, (Datuk Seri) Zakaria Jaffar mula bercakap dan bertindak kerana mereka tidak mahu dituduh bersubahat melakukan kemungkaran.

"Kita berdoa tiada bala menimpa penjawat awam yang berani seperti Zeti," kata Kadir.

Katanya, kesan pendakwaan yang tidak wajar ini juga akan melihat Malaysia menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa dan akan terus menghakis keyakinan mereka terhadap pentadbiran dan ekonomi negara.

"Agensi nasional dan internasional sudah pun menampakkan sikap tidak ambil hirau (disdain) dan tidak yakin dengan tindak-tanduk agensi Malaysia.

"Ini terbukti apabila pihak berkuasa mata wang mereka membekukan akaun berkaitan 1MDB dan Polis Antarabangsa (Interpol) menolak permintaan PDRM agar mengeluarkan waran tangkap ke atas Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle Brown.

"Polis Thailand pula tidak membenarkan Ketua Polis Negara (Tan Sri) Khalid Abu Bakar menemu bual bekas eksekutif PetroSaudi International (PSI), Xavier Andre Justo,” katanya.

Justo dipenjarakan di Thailand kerana memeras ugut bekas majikannya.

Khalid sebelum ini berkata beliau berminat dengan dakwaan Justo yang beliau memalsukan emel daripada majikannya mengenai perjanjian perniagaan 1MDB.

Justo berkata emel palsu itu diserahkan kepada pemimpin parti pembangkang Malaysia, Sarawak Report dan akhbar mingguan The Edge


Tiada ulasan: