Jumaat, 9 Oktober 2015

BNM batal pelaburan RM7.5 bilion 1MDB, gesa pendakwaan

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1MDB di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) untuk pelaburan ke luar negara berjumlah AS1.83 bilion atau RM7.5 bilion.

Bank pusat itu turut mengeluarkan arahan bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan menggesa 1MDB membawa balik wang berkenaan.

Tindakan itu ekoran kenyataan Peguam Negara bahawa 1MDB tidak melakukan sebarang kesalahan berkenaan siasatan Bank Negara terhadap 1MDB.

Di bawah siasatannya, BNM berkata ia merumuskan bahawa kebenaran yang diberikan di bawah ECA bagi pelaburan 1MDB di luar negara adalah berdasarkan pendedahan maklumat relevan yang dikehendaki BNM semasa membuat penilaian terhadap permohonan 1MDB itu.

“Sebagai pihak berkuasa siasatan, Bank Negara bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan pada tahap profesional yang paling tinggi dan terperinci.

“BNM menghendaki pendedahan maklumat yang tepat dan lengkap setiap masa apabila mempertimbangkan sebarang permohonan di bawah ECA,” katanya.

Hasil daripada siasatan, BNM berkata, ia mencadangkan peguam negara melaksanakan pendakwaan jenayah terhadap 1MDB di atas kesalahan di bawah ECA.

“Perlu diketahui bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, keputusan untuk memulakan sesuatu pendakwaan jenayah terletak sepenuhnya pada peguam negara,” katanya.

BNM berkata ia akan terus memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Tiada ulasan: