Ahad, 18 Oktober 2015

Biar PKR pula tanggung liabiliti, ujar akhbar

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Pada ketika 'penghijrahan' Datuk Saifuddin Abdullah ke dalam PKR disambut dengan penuh keterujaan oleh parti berkenaan, sebaliknya ia disifatkan Umno sebagai 'hilangnya beban yang besar', demikian ujar akhbar Mingguan Malaysia hari ini.
 
Akhbar itu menerusi ruangan Analisis Mingguan tulisan Awang Selamat berkata, tindakan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu juga menyerlahkan lagi sisi pemimpin berkenaan dilihat sebagai duri dalam daging.
 
"Ia umpama PKR mendapat pemain bola sepak import yang bukan saja gagal menjaringkan gol dan kurang cergas, tetapi menghadapi masalah ego, karakter serta disiplin yang serius," tulis Awang Selamat memetik komen seorang pemimpin Umno.
 
Saifuddin mengumumkan penyertaannya ke dalam PKR Khamis lalu, berikutan kecewa dengan kegagalan Umno menyelesaikan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion.
 
Beliau sebelum itu mendapat surat tunjuk sebab daripada Umno kerana menghadiri persidangan meja bulat melibatkan parti pembangkang 22 September lalu.
 
Tindakannya menghadiri persidangan berkenaan disifatkan sebagai mencemar imej parti, sehingga beberapa pihak mendesak tindakan diambil ke atas beliau. 
 
Awang Selamat dalam pada itu juga menyifatkan masa depan Saifuddin dalam Umno merudum selepas tewas kepada calon PAS Nasrudin Hassan di kerusi Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
 
Saifuddin juga gagal mempertahankan jawatannya sebagai ahli majlis tertinggi Umno pada pemilihan Umno baru-baru ini.
 
"Maka benar kata ramai, Umno tidak rugi apa-apa. Aura negatif Saifuddin sudah terbang daripada parti tersebut dan biarlah PKR pula menanggung liabiliti itu," tulis kolumnis itu lagi.
 
 

Tiada ulasan: