Selasa, 27 Oktober 2015

Amanah sedar partinya tiada sokongan akar umbi - Khairuddin Aman [TONTON VIDEO]

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Aziz

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) sedar mereka tidak mempunyai sokongan akar umbi dan sukar untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
 
Justeru, tidak hairanlah parti terpaksa mempromosikan DAP semata-mata mahu mengukuhkan kedudukannya dalam Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.
 
"Pertama saya nampak memang parti serpihan PAS ini menjadi pengikut kepada DAP, kerjanya mempromosi DAP dan memang tidak peliklah apabila saudara Hj Salahuddin pun mempromosi Lim Guan Eng," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen pada Isnin.
 
Dalam ceramah penerangan isu semasa anjuran Amanah pada Ahad, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dilapor mengangkat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai tokoh misi menawan Putrajaya.
 
Salahuddun juga memuji Guan Eng sebagai pemimpin yang menjaga kebajikan orang Islam.
 
Namun Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus tidak bersetuju dengan kenyataan itu dan berkata DAP tidak menyokong isu-isu yang melibatkan agama Islam.
 
"Saya tidak merasakan orang Islam akan menyokong (DAP), Melayu tidak akan menyokong DAP kerana DAP dilihat tidak menyokong isu-isu Islam, tidak memberikan sesuatu yang positif.
 
"Cuba lihat ahli-ahli Parlimen DAP, saya tidak nampak mereka mesra pada Islam," katanya.
 
Khairuddin juga mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad bahawa beliau dan Presiden Amanah, Mohamed Sabu tidak berapa yakin akan menang jika bertanding pada pilihan raya akan datang.
 
"Itu lemah semangat maknanya (apabila mereka kata mereka tidak akan menang dalam pilihan raya akan datang). Kita sebagai orang politik perlu kuat semangat dan tidak boleh lemah semangat.
 
"Jadi saya merasakan bahawa mereka tidak ada sokongan, saya sebutkan di sini contohnya macam PKR yang begitu lama dalam politik pembangkang yang lebih 10 tahun pun tidak mempunyai sokongan yang kuat di peringkat akar umbi, jadi apakan lagi DAP dengan serpihan PAS ini, saya yakin mereka tidak ada kekuatan di peringkat akar umbi," katanya lagi.
 
Amanah adalah parti serpihan yang digerakkan bekas pemimpin PAS yang tewas pada pemilihan parti Jun lalu.
 
Parti itu kemudiannya menyertai PH untuk menggantikan PAS.
 
"Yang keluar parti dan masuk parti serpihan ini (Amanah) biasanya adalah kerana kecewa dan mereka akan kembali semula pada PAS, itu sejarah yang lampau.
 
"PAS insya-Allah dengan apa yang berlaku baru-baru ini, saya lihat apabila saya turun padang pun, sambutan orang ramai kepada PAS pun begitu hangat, ahli-ahli PAS pun semakin bersemangat dan ramai golongan atas pagar dan ahli Umno sendiri yang mereka tidak bersama Umno bahkan bersama PAS," katanya lagi.
 
 
 

Tiada ulasan: