Jumaat, 9 Oktober 2015

Akta Hasutan: Masukkan Perlembagaan Persekutuan ke dalam muzium, sindir Zunar

KEADILAN DAILY

Zunar King Derma


KUALA LUMPUR : Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan penggunaan Akta Hasutan adalah mengecewakan, tidak boleh diterima dan tidak demokratik.

Kartunis politik Zunar mengulas demikian berhubung keputusan mahkamah itu semalam dalam kes melawan Profesor Undang-Undang, Azmi Sharom bahawa Akta Hasutan adalah sah dari segi Perlembagaan.

Azmi sebelum itu mencabar keabsahan akta tersebut kerana ia bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara.

“Artikel 10 menyatakan dengan jelas bahawa “(a) Tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran; (b) Semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata.”

“Dengan itu, keputusan mahkamah ini jelas memperlekeh Perlembagaan dan bermotif politik. Sejak diperkenal dalam tahun 1948, Akta Hasutan digunakan sebagai senjata politik berkesan parti pemerintah untuk mengekang kebebasan bersuara,” kata Zunar  atau Zulkiflee Anwar Al-Haque dalam kenyataan.

Lebih 200 aktivis terdiri dari mahasiswa, pensyarah, peguam, penulis, agamawan, pemimpin pembangkang dan kartunis telah disiasat, ditangkap, ditahan atau dibicarakan di bawah Akta Hasutan sejak tahun lepas.

“Saya sendiri sedang menghadapi 9 tuduhan di bawah Akta Hasutan yang membawa hukuman maksima secara matematik 43 tahun dan kes saya akan berlangsung pada 6 November depan,” kata Zunar.

Dengan keputusan ini, kata Zunar lagi, mahkamah memberi lebih mandat kepada kerajaan untuk terus menggunakan Akta Hasutan terhadap pengkritik.

“Harapan untuk mendapat keadilan dari mahkamah telah musnah. Kes-kes Akta Hasutan yang tertangguh sebelum ini akan dibuka semula. Ia akan menyempitkan lagi ruang kebebasan bersuara dan berekspresi yang sudah sangat terhad di Malaysia. Malaysia sekarang sedang memecut ke belakang.

“Malah Perdana Menteri Najib Razak sedang menuju era ‘Mugabe-risma’.

“Saya cadangkan Perlembagaan Persekutuan di masukkan ke muzium untuk dijadikan pameran barang antik,” sindir Zunar.

Tiada ulasan: