Sabtu, 17 Oktober 2015

Ahli Parlimen PKR usul undi tidak percaya terhadap Najib

 


 
DETIK DAILY



Seorang ahli Parlimen PKR mengemukakan notis untuk membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi persidangan Isnin ini.

Notis dikemukakan wakil rakyat Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian itu merupakan item ke-25 dalam senarai untuk dibahaskan apabila Dewan mula bersidang untuk mesyuarat ke-3 bagi penggal ke-3 Parlimen ke-13, Isnin ini.

Hee menyenaraikan beberapa sebab untuk memulakan usul itu, termasuk wang RM2.6 bilion yang diterima Najib dalam akaun peribadinya.


Pengkritik Najib selama ini menggesa usul undi tidak percaya dibentangkan terhadap Najib.

Perdana menteri ketika ini menghadapi serangan berkaitan syarikat yang diilhamkan beliau, 1MDB, serta "derma" RM2.6 bilion dari penderma yang tidak diketahui di Timur Tengah, yang dimasukkan ke akaun peribadi beliau menjelang pilihan raya umum 2013.

PKR sebelum ini berkata, pembangkang hanya memerlukan 25 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong usul undi tidak percaya bagi memaksa Najib berundur.

Pengkritik Najib yang dulunya menyokong beliau, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, juga menggesa penggubal undang-undang persekutuan dari BN memberikan sokongan mereka kepada usul tidak percaya itu.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengakui semalam, "sukar" untuk berjaya membawa usul tidak percaya di Dewan Rakyat, tetapi pihak pembangkang akan tetap cuba melakukannya.

"Kita perlu susun semula jangkaan. Kita tidak mahu situasi di mana selepas Parlimen, Najib masih berkuasa, dan orang menyalahkan kita. Bukan kami yang kawal, Najib dan Speaker (yang kawal)," katanya.

"Betul, memang sukar, tetapi kita kena cuba," kata Rafizi lagi

Tiada ulasan: