Khamis, 15 Januari 2015

Zahid tak jawab, isu MyEG dilapor ke Suruhanjaya Persaingan

Azuan Ab Rahman


KUALA LUMPUR: KEADILAN memfailkan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berhubung kontrak pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing yang diberi kepada syarikat MyEG Services Berhad (MyEG).

Aduan rasmi itu dikemukakan Bendahari Agung KEADILAN, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew bersama Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN pusat (AMK) Lee Chean Chung di Menara Sentral di Kuala Lumpur.

mYegIa berikutan kegagalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi memberi penjelasan berhubung penganugerahan kontrak itu dalam tempoh 24 jam seperti diminta.

“Tempoh 24 Jam yang diberikan kepada Datuk Seri Zahid Hamidi sudah pun lupus, kami hadir untuk menunaikan janji untuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) seperti yang dinyatakan sebelum ini,” jelas Lee kepada media.

Pada Selasa, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan negara kerana penganugerahan kontrak PLKS kepada syarikat swasta.

Lee berkata pengendalian pembaharuan PLKS oleh MyEG merupakan satu bentuk monopoli kerana majikan tidak mempunyai pilihan lain selain melalui sistem MyEG.

Difaham kan, amalan memonopoli ini bukan sahaja menjejaskan kepentingan pengguna, malah mungkin melanggar Akta Persaingan 2010.

Menurutnya, orang ramai atau majikan pada masa ini hanya mempunyai pilihan melalui sistem MyEG kerana urusan tersebut di kaunter Jabatan Imigresen telah ditutup.

“Jelas bahawa MyEG mendapat kontrak monopoli bernilai RM95 juta daripada Kementerian Dalam Negeri, sekarang rakyat dan majikan terpaksa menanggung bayaran lebih RM38 setahun untuk setiap pekerja. Ini jelas menjejaskan kepentingan rakyat dan orang awam,” tegasnya kepada media.

Sementara itu, Dr Tan mendakwa pemberian kontrak pembaharuan PLKS kepada syarikat swasta itu jelas melanggar Akta Persaingan dan mendesak MyCC menjalankan siasatan terperinci.


“Jika mengikut Akta Persaingan, Jabatan Imigresen perlu membuka kuanter supaya majikan dan rakyat ada pilihan sama ada secara online atau perkhidmatan di kuanter,” tegasnya.

Tiada ulasan: