Jumaat, 2 Januari 2015

SPRM digesa ubah gaya kerja dan segera bertindak atas laporan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengingatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyegerakan siasatan ke atas beberapa kes yang berkali-kali dilapor pakatan pembangkang.
 
"Pertama sekali ialah siri-siri laporan melibatkan mantan Menteri Kewangan iaitu Tun Daim Zainuddin. Tidak kurang daripada tiga laporan telah dibuat pada awal tahun 2014 dan gesaan agar tindakan lanjut SPRM diambil juga telah dibuat berkali-kali.
 
"Atas justifikasi yang kukuh melalui perincian maklumat di dalam laporan yang telah dikemukakan, seakan-akan dibakulsampahkan oleh SPRM. 
 
"Sejujurnya tindakan SPRM ini nyata sekali mendukacitakan dalam keadaan Tun Daim langsung tidak diambil sebarang tindakan hatta dipanggil untuk memberi keterangan lanjut," ujarnya menerusi kenyataan medianya, sempena tahun baru 2015, hari ini.
 
Perkembangan itu hanya menerbitkan persoalan apakah SPRM mengamalkan pendakwaan selektif sehingga menyebabkan banyak kes rasuah tertunggak atau tidak diambil tindakan langsung, soal Shamsul.
 
Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul juga mahu SPRM menyiasat mengenai perbelanjaan perkahwinan anak mantan Ketua Menteri Melaka iaitu Tan Sri Mohd Ali Rustam yang dicanang-canang sebagai rekod kehadiran mencecah 130,000 tetamu.
 
"Pelbagai keraguan termasuklah notis mesyuarat persiapan majlis tersebut yang melibatkan ketua-ketua agensi kerajaan Negeri Melaka dan juga pengakuan oleh Tan Sri Mohd Ali sendiri yang majlis itu sekadar menelan belanja RM600 ribu. 
 
"Kedua-dua fakta ini jelas tidak munasabah dan telah dikemukakan ke SPRM untuk tindakan lanjut, namun nyata sekali harapan tinggal harapan," kata Shamsul lagi.
 
Beliau berkata PKR dan Pakatan Rakyat menyokong penuh usaha penambahbaikan dan pemerkasaan SPRM dalam menangani isu rasuah di negara ini.
 
"Selamat Tahun Baru 2015 buat SPRM. Berkhidmatlah dengan Bebas, laksanakan tugas dengan Telus, serta junjunglah amalan Profesional demi negara yang tercinta," ujarnya lagi.

Tiada ulasan: