Jumaat, 16 Januari 2015

SPRM akan panggil semula Khairuddin

 
Maklumat yang diterima SPRM merupakan perkara yang sama dikemukakan oleh Khairuddin kepada pihak polis.


Khairuddin Abu Hassan


PETALING JAYA:Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasai) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengesahkan menerima maklumat daripada Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Menurutnya, maklumat yang diterimanya semalam merupakan perkara yang sama dikemukakan oleh Khairuddin kepada pihak polis sebelum ini.

“SPRM akan memanggil Datuk Seri Khairuddin untuk mendapatkan maklumat tambahan daripada beliau sebelum membuat keputusan sama ada terdapat asas untuk menjalankan siasatan di bawah Akta SPRM 2009,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, SPRM juga akan memberi jaminan akan bertindak secara telus dan profesional dalam isu ini selaras dengan Akta SPRM 2009.

Semalam, Khairuddin sewaktu membuat laporan kepada SPRM menggesa supaya suruhanjaya itu menyiasat secara terperinci, menyeluruh dan berterusan mengenai ketelusan pentadbiran serta perbelanjaan dana serta kewangan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Naib Ketua Bahagian UMNO Batu Kawan itu turut menyatakan, laporan SPRM dibuat berikutan 1MDB telah menjadi kerisauan rakyat di negara ini kerana ia membabitkan urusniaga berjumlah berbillion ringgit.

“Tindakan saya selaku warganegara Malaysia dan pembayar cukai turut merasai risau dan ragu-ragu dengan ketelusan pentadbiran mahupun perbelanjaan dan serta kewangan 1MDB yang sedang menanggung bebanan hutang mencecah hampir RM41.9 billion setakat laporan audit syarikat tersebut pada bulan March 2014,” katanya.

Tiada ulasan: