Datuk Dr S Subramaniam Datuk Dr S Subramaniam
 
 
PUTRAJAYA - Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah memaklumkan secara bertulis bahawa ia tidak mengiktiraf pelantikan yang dibuat oleh MIC susulan arahannya bagi parti itu mengadakan pemilihan semula untuk jawatan-jawatan tertentu, kata timbalan presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam hari ini.

Dr Subramaniam berkata beliau boleh mengesahkan bahawa ada surat daripada ROS menyatakan bahawa tiada pelantikan baharu harus dibuat tanpa menyelesaikan dahulu isu pemilihan semula jawatan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan tiga naib presiden.

"Saya mengesahkan kesahihan surat, yang menyatakan tiada pelantikan baharu harus dibuat tanpa menyelesaikan kemelut dalaman MIC," kata Dr Subramaniam, yang juga menteri kesihatan, kepada pemberita di kementerian di sini.

Surat daripada ROS, yang dialamatkan kepada Datuk G. Kumar Aaman, meminta beliau (Kumar Aaman) untuk menghadiri mesyuarat dengan ROS bagi menjelaskan pelantikannya sebagai setiausaha agung parti.

Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel telah melantik Kumar Aaman sebagai setiausaha agung yang baharu selepas perintah ROS bertarikh 5 Disember bagi pemilihan semula. Palanivel juga telah menukar pengarah strategik parti dan tiga anggota CWC selepas perintah bagi pemilihan semula.

Dr Subramaniam menjelaskan bahawa surat terbaharu dari ROS menyatakan bahawa semua pelantikan yang dibuat dalam tempoh itu berikutan perintah bagi pemilihan semula hendaklah dianggap sebagai batal dan tidak sah.

Beliau berkata walaupun Palanivel telah dua kali enggan bertemu dengannya, beliau akan cuba sekali lagi untuk bertemu dengan presiden MIC selepas beliau kembali dari India.
"Beliau (Palanivel) berada di luar negara sekarang. Kami akan menunggu beliau kembali, dan membuat satu lagi percubaan. Kami memandang berat (kerana kesuntukan masa) dan akan cuba menyelesaikan krisis parti," katanya.

ROS, dalam surat bertarikh 5 Disember, telah mengarahkan MIC untuk mengadakan pemilihan semula jawatan bagi 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan tiga naib presiden dalam tempoh 90 hari.

Berikutan rayuan, ROS telah menghantar satu lagi surat melanjutkan tempoh 90 hari kepada 120 bagi parti mengadakan pemilihan semula. - Bernama