Jumaat, 16 Januari 2015

Pairin tawar penyelesaian masalah PTI

 
Kebanjiran PTI di Sabah disebabkan kawalan teruk di sempadan dan undang-undang yang wujud tidak dikuatkuasakan.


pairin_300


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Joseph Pairin Kitingan, ada penyelesaian mudah untuk membanteras kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah iaitu: kuat kuasa undang-undang, pantau pintu masuk dan halau mereka.

“Bagi saya penyelesaiannya sangat mudah. Jawapannya adalah menguatkuasa undang-undang dan mereka yang bertanggungjawab mesti menjalankan tugas melindungi kediaman kita dengan mengawas ketat di pintu masuk dan akhir sekali mereka yang tidak mempunyai dokumen mesti dilarang masuk,” katanya.

Pairin yang dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Kerja mengenai PTI di Sabah ketika memperincikan penyelesaian itu berkata: “Pertama kita tutup pintu sempadan. Ini perlu dikuatkuasakan dengan ketat. Undang-undang kita ada di sana dan mereka yang mahu datang di sini mesti ada dokumen yang lengkap.”

Selepas itu katanya, dengan langkah-langkah pencegahan, pihak berkuasa juga perlu memperhebatkan tindakan dengan agresif mengusir PTI pulang ke negara asal mereka.

Laporan berita katanya, menunjukkan agensi-agensi berkaitan sangat aktif dengan operasi mereka tetapi rakyat mahu melihat usaha ini berterusan sehinggalah jumlah PTI berkurangan.

Ketika menguatkuasa undang-undang katanya, polis mesti menyiasat dan bertindak terhadap laporan yang dibuat. “Ada beberapa sudah laporan dibuat kepada polis dan langkah seterusnya ialah bagi mereka menjalankan siasatan.”

Beliau menambah, kebanjiran PTI di Sabah disebabkan kawalan teruk di sempadan dan undang-undang yang wujud tidak dikuatkuasakan.

Beliau mendakwa, masalah lain ialah pegawai kerajaan yang tidak bertanggungjawab dengan memberi contoh pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang tidak melakukan tugas mereka, sebaliknya mengambil kesempatan daripada keadaan ini demi untuk wang.

Semua ini katanya, dilaporkan dalam Suruhanjaya Siasatan Draja (RCI) mengenai masalah PTI di sini.

Pairin menekankan bahawa beberapa kumpulan melaporkan mengenai isu yang dianggapnya sebagai sudah diketahui semua orang iaitu kebarangkalian kewujudan Projek IC.

Di sinilah polis perlu bertindak katanya, dengan membuat susulan, kerana itu adalah tugas mereka dan mereka tidak boleh hanya “menyapu” masalah itu di bawah permaidani.

“Pihak berkuasa mesti memeriksa daftar pemilih dan mengeluarkan nama-nama bukan warganegara dalam senarai daftar pemilih. Ini mesti dilakukan demi menunaikan tuntutan rakyat,” katanya menambah langkah ini dituntut dalam undang-undang.

Ini menurut Pairin, adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. “Kebanjiran PTI disebabkan oleh kawalan teruk di sempadan dan penguatkuasaan undang-undang.”

Mengenai gesaan kepada Kerajaan Persekutuan supaya memberikan lebih kuasa untuk menangani isu ini dengan melantik beliau sebagai Menteri Dalam Negeri, Pairin berkata, sebagai pengerusi Jawatankuasa Kerja, beliau akan menjalankan tanggungjawabnya mengikut cara yang diperlukan.

Tiada ulasan: