Rabu, 21 Januari 2015

Notis daftar GST secara paksaan keluar hujung Jan

SINAR HARIAN

 
 
KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam akan mengenakan kompaun maksimum sebanyak RM15,000 kepada syarikat dan peniaga menerusi pendaftaran Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) secara paksaan berikutan kegagalan mereka berbuat demikian pada tempoh ditetapkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata notis pendaftaran paksaan itu akan dikeluarkan pada akhir bulan ini.

Setakat ini dianggarkan lebih 300,000 syarikat dan peniaga berpendapatan melebihi RM500,000 gagal mendaftar di bawah GST.

Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana peniaga atau syarikat yang masih belum mendaftar agar segera berbuat demikian sebelum pelaksanaan pendaftaran secara paksaan.

"Kompaun minimum sebanyak RM2,000 akan dikenakan bermula hari ini kepada mereka yang gagal mendaftar pada tarikh ditetapkan. Tambahan nilai kompaun sebanyak RM150 bagi setiap hari yang lewat akan turut dikenakan," katanya.

Beliau berkata, demikian kepada wartawan pada seminar GST: Pemangkin Ke Arah Negara Maju, di sini, hari ini.

Seminar anjuran Chartered Tax Institute of Malaysia itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Pendaftaran GST bermula sejak Jun 2014 dan tamat pada akhir tahun lepas.

Sejumlah 304,344 syarikat dan peniaga berdaftar bagi GST sehingga hari ini. - Bernama

Tiada ulasan: