Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar  
Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar


SHAH ALAM - Kerajaan Australia diharap dapat memberikan kerjasama baik untuk membawa pulang Koperal Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan Australia perlu memberi kerjasama atas dasar moral dan hubungan diplomasi baik yang terjalin jika benar anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu berada di negara berkenaan.

"Jika Sirul berjaya ditahan di Australia atas kesalahan yang dilakukan di Malaysia serta didapati bersalah, kemungkinan Sirul boleh membawa kes ini di mahkamah (Australia).

"Saya juga dimaklumkan, Australia tidak memperuntukkan hukuman mati mandatori seperti Malaysia dan fakta ini mungkin boleh digunakan Sirul.

"Justeru, jika kemungkinan ini terjadi, proses undang-undang akan dilaksanakan di mahkamah Australia untuk menentukan sama ada perlu atau tidak Sirul dihantar pulang ke negara ini. Namun masih terlalu awal untuk kita membuat sebarang spekulasi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pembukaan Konsul Nepal di Pulau Pinang, hari ini.

Polis sebelum ini mengesahkan Sirul Azhar ke Australia Oktober lalu berdasarkan rekod Jabatan Imigresen.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah membuat permohonan waran tangkap selepas Sirul Azhar gagal hadir semasa pembacaan hukumannya, pada Selasa, berhubung rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskannya bersama Cif Inspektor Azilah Hadri.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan mereka bersalah membunuh Altantuya di Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja, Klang, Selangor antara jam 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.