mh17
 
 
TAPAH -  Mahkamah Tinggi Syariah Tapah, semalam memerintahkan semua harta pusaka pembantu juruterbang MH17, Allahyarham Muhamad Firdaus Abdul Rahim ditahan dan dipelihara dalam akaun amanah di Amanah Raya Berhad dengan pemantauan bersama, sehingga penyelesaian muktamad harta berkenaan disempurnakan mengikut hukum syarak.

Hakim Abd Rahman Tobroni dalam kamarnya memerintahkan, semua pusaka milik  Allahyarham  yang diperoleh pemohon iaitu Fatimah Ibrahim yang juga ibu kepada Muhamad Firdaus dan responden pertama iaitu balunya, Norzarith Zaaba, serta responden kedua sehingga kelima yang juga adik-beradiknya dimasukkan ke dalam akaun amanah harta pusaka serta-merta.

Perintah sama turut dikeluarkan terhadap semua hutang-piutang dan tanggungan Allahyarham agar diselesaikan dengan segera melalui pembiayaan daripada harta pusaka tersebut.

“Mahkamah memerintahkan semua waris kadim Allahyarham menahan, menjaga dan tidak mengalihkan harta pusaka milik Allahyarham termasuk barang peribadi serta harta pusaka Allahyarham kekal ‘status quo’, kecuali penyelesaian hutang piutang dan tanggungan  Allahyarham mengikut peruntukan Seksyen 199 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Perak) 2004 sehingga harta disempurnakan melalui hukum syarak,” katanya.

Pemohon dan responden turut diperintahkan untuk harta pusaka Allahyarham dalam milikan  atau kuasa responden untuk diperiksa pemohon mengikut Seksyen 85 dan Seskyen 86 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Perak) 2004.

“Mahkamah memerintahkan mana-mana institusi termasuk perbankan menzahirkan semua harta Allahyarham," katanya.