Sabtu, 3 Januari 2015

Banjir: Tangguh GST, bantuan RM1 bilion, isytihar darurat bencana alam – Kit Siang

kuala_krai2

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengemukakan tiga cadangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai tindakan segera menghadapi situasi memburuk tentang keadaan banjir terutamanya di negeri-negeri pantai timur semenanjung.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu mencadangkan penangguhan cukai barangan dan perkhidmatan(GST), menggenapkan RM1 bilion bantuan serta mengisytihar darurat bagi menangani banjir yang memburuk di Pahang.

“Perdana Menteri wajar menangguhkan pelaksanaan GST 1 April nanti kerana bukan sahaja menambah sengsara mangsa banjir berjumlah lebih sejuta orang, kerana bukan semua mangsa banjir ditempatkan di pusat-pusat pemindahan,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Ujarnya, malapetaka banjir melemahkan keyakinan terhadap perniagaan sehingga ramai yang membincangkan untuk menutup perniagaan, bukan hanya di kawasan yang terjejas akibat banjir.

“Hampir setiap orang di Kuala Krai menjadi mangsa banjir – berdaftar mahupun tidak – memberi sebab tambahan untuk para peniaga menutup kedai,” kata Kit Siang.

Semalam, DAP bersama 250 aktivis yang terdiri daripada pimpinan parti dan sukarelawan dari Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor mengambil bahagian dalam misi bantuan banjir pada Hari Tahun Baru 2015.

Konvoi lebih 40 kenderaan pacuan empat roda (4WD) dari Pulau Pinang Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan ke Kuala Krai membawa lebih 2,000 karton bekalan bantuan diketuai Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke,

Misi bantuan ketiga DAP dibawah program Selamatkan Kuala Krai (Save Kuala Krai) turut membawa bersama tiga kontena bekalan bantuan, hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin.

Dalam pada itu kata Kit Siang, kerajaan perlu menambah bantuan banjir kepada RM1 bilion, termasuk menyediakan pinjaman tanpa faedah kepada setiap mangsa banjir.

“Semua mangsa banjir yang mempunyai perniagaan, tidak kiralah warung mahupun kedai sewajarnya berhak mendapat pinjaman tanpa faedah antara RM1,000 ke RM250,000 untuk memulakan semula perniagaan mereka,” kata Kit Siang.

Manakala darurat perlu diisytiharkan berikutan keadaan banjir yang semakin memburuk di Pahang.
Jelas Kit Siang, darurat bencana bukanlah untuk bagi membangkitkan undang-undang tentera
mahupun perintah berkurung, melainkan bertujuan memobilisasi bantuan dari pihak tentera dan polis bagi menjaga keamanan

“Alasan Najib bahawa perisytiharan darurat akan membebaskan syarikat insuran daripada membayar tuntutan insuran terbukti alasan yang tidak boleh dipakai,

“Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) mengesahkan bahawa syarikat insuran tidak terlepas daripada membayar ganti rugi untuk tuntutan kerosakan banjir walaupun telah diisytihar darurat,” kata Kit Siang. – Roketkini.com

Tiada ulasan: