Oleh Azuan Abd Rahman
KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua menyelar media pro Barisan Nasional yang memutar belit kenyataannya semasa berucap di hadapan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya semalam.
Tegas Ahli Parlimen Batu itu, media pro BN melancarkan serangan besar-besaran terhadapnya dan beliau turut dituduh untuk cuba mempengaruhi penghakiman kes Fitnah II dengan mengancam untuk mengadakan perhimpunan bantahan.
“Saya dituduh cuba untuk menakut-nakutkan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dengan menghasut orang ramai untuk menghadiri perhimpunan.
“Tuduhan itu pastinya tidak berasas, sepanjang berucap, saya tidak menyentuh tingkah laku hakim,” tegas Tian dalam kenyataan hari ini.
Sebaliknya jelas Tian, ucapan tersebut adalah bagi memberi amaran kepada golongan elit politik yang berkuasa bahawa penyokong Anwar meletakkan harapan tinggi ke atas badan kehakiman bagi memastikan keadilan tertegak.
Ujarnya, tindakan memenjarakan Ketua Umum KEADILAN itu hanya akan mencetuskan momentum baru bagi gerakan reformasi di negara ini.
Tian semasa berucap di perkarangan Istana Kehakiman di Putrajaya semalam berikrar mengadakan perhimpunan besar-besaran di Dataran Merdeka pada hujung minggu ini sekiranya Anwar disabitkan dengan tuduhan Fitnah II.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan