Transgender: Mains akan kemuka rayuan
 
 
SEREMBAN - Majis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membabitkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992.

Kelmarin, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan enakmen itu sebagai tidak sah di sisi Perlembagaan kerana didapati mendiskriminasikan lelaki Islam yang menghidap keadaan dikenali sebagai masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan.

Setiausaha Mains, Kamal Amran Kamarudin bagaimanapun berkata, perkara tersebut masih dalam perbincangan dan rayuan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Setakat ini, tarikh belum ditetapkan. Apabila sudah bersedia nanti, barulah kita teruskan dengan rayuan. 

“Kita hargai setiap komen dan cadangan dikemukakan, selain berharap masyarakat Islam akan memberikan sokongan kepada usaha Mains dan kerajaan negeri,” katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas gesaan Gabungan Peguam-peguam Ikatan Muslimin Malaysia (iPeguam) yang mahu Mains memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.
Pengerusinya, Tuan Muhammad Luttfi Abdul Khalid berkata, rayuan itu penting kerana perkara terbabit melibatkan isu Perlembagaan dan kewibawaan institusi agama Islam di Negeri Sembilan.

“Keputusan ini juga akan menjadi rujukan bagi negeri lain dan juga di Wilayah Persekutuan sendiri, sekiranya kes serupa berulang. Ini kerana pihak berkuasa agama Islam negeri tiada pilihan, melainkan terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan,” katanya.