Khamis, 6 November 2014

Tiga maut tanah runtuh di Cameron Highlands

MALAYSIAKINI




 


Mayat seorang pelajar berusia 13 tahun merupakan salah satu antara dua mangsa yang ditemui mati di tempat kejadian banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands.

Ia menjadikan jumlah yang maut tiga orang setakat ini.

Mayat R Punesh, pelajar Sekolah Menengah Kampung Raja dan seorang pekerja ladang sayuran warga Indonesia, berusia 48 tahun masing-masing ditemui pada jam 8.45 pagi dan 9.20 pagi ini.

Ketua polis daerah Cameron Highlands, Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan hanya tiga orang ditemui mati setakat ini manakala lima yang lain cedera dalam kejadian itu.

Sementara itu, laporan Bernama terdahulu menyebut, seorang lagi yang disahkan maut adlah pekerja kebun sayur warga Nepal dikenali sebagai Md Yousus Miya, 66.

Mayat warga Nepal itu dibawa keluar akibat tertimbus tanah pada pukul 8.30 malam tadi,  kata Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu.

Manakala seorang daripada yang cedera di Ringlet itu dikenali sebagai Iswandi Nahrowi, 40 tahun, katanya.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Morni Mamat pula berkata pihaknya menerima laporan tiga lelaki turut tertimbus di sebuah bengkel di Ringlet.
  
"Seorang darinya hanya tertimbus separuh badan dua lagi terperangkap sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata mereka yang tertimbus itu terdiri daripada dua warga India dan seorang warga tempatan.
  
Ketiga-tiga mereka yang cedera parah itu berjaya diselamatkan dan kini dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan.
  
Morni berkata kira-kira 150 orang daripada 37 keluarga dari Pekan Baru Ringlet dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Ringlet malam ini.
  
Wan Mohd Zahari juga berkata seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang identitinya tidak dikenali dikhuatiri lemas dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di Sungai Telom, Kuala Terlah dekat Kampung Raja.
  
Usaha mencari dan menyelamat remaja lelaki itu akan disambung hari ini.

Beliau berkata air dari Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan sejak petang secara berperingkat dan penduduk diarahkan berpindah ke kawasan tinggi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
  
Katanya setakat ini keadaan di tempat kejadian terkawal.
  
Pada tahun lepas, Tasik Ringlet di Lembah Bertam, yang melimpahkan air sehingga menyebabkan banjir lumpur dan mengorbankan tiga nyawa serta merosakkan lebih daripada 100 buah rumah. - Bernama

Tiada ulasan: