CAMERON HIGHLANDS: Ekoran kejadian banjir kilat dan tanah runtuh yang mengakibatkan tiga maut malam tadi, pasukan Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana PAS (CEDM) turun ke kawasan kejadian hari ini.
Pengerusinya Salahudin Ayub bersama Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dan Anggota unit Amal Perak tiba di sini pagi tadi bagi membuat tinjauan dan mengenal pasti bantuan yang boleh disumbangkan.
Salahudin berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa sehingga kini keadaan masih terkawal dan tidak ada insiden baru dilaporkan.
"Dalam lawatan kita ke beberapa lokasi, ada kawasan mengalami tanah runtuh dan banjir kilat, namun keadaan dilaporkan terkawal.
"Hari ini kita buat lawatan awal untuk melihat apa bentuk bantuan yang kita boleh sumbangkan,"katanya.
Menurut Salahudin yang juga Naib Presiden PAS, pihak CEDM kini dalam keadaan siap siaga dan bersedia bila-bila masa untuk menghulurkan bantuan khususnya dari aspek pembersihan rumah, surau dan sekolah yang terlibat dengan banjir dan tanah runtuh tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan serius terhadap kejadian tanah runtuh yang sering berlaku dikawan tanah tinggi itu.
Beliau tidak menolak, kejadian itu berpunca dari penarahan bukit secara haram oleh pihak-pihak tertentu.
"Penarahan ini dilihat tidak terkawal. Sepanjang laluan di sini ini kita lihat ada penarahan baru dibuat.
"Kita minta kerajan kuatkuasakan soal penerokaan tanah haram dan penarahan bukit ini," katanya.
Dalam insiden malam tadi, tiga orang dilaporkan maut manakala lima lagi cedera akibat runtuhan tanah dan banjir kilat di kawasan di Lembah Bertam.
Antara yang maut termasuk seorang pelajar berusia 13 tahun, dan orang pekerja kebun sayur masing-masing warga Indonesia dan Nepal. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan