Isnin, 10 November 2014

Tanah rizab Melayu menyusut tapi usul ditolak

ANIS NAZRI


KUALA LUMPUR: PAS melahirkan rasa kesal dengan penolakan usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berhubung isu tanah rizab Melayu yang semakin menyusut.

Bercakap pada sidang media di parlimen, hari ini, Mahfuz beranggapan Yang Dipertua Dewan Rakyat terlepas pandang beberapa perkara yang ditimbulkan beliau dalam usul berkenaan.

Mahfuz berkata speaker memberi alasan yang mengatakan ia tidak perlu dibincangkan di Dewan Rakyat kerana urusan tanah merupakan bidang kuasa kerajaan negeri, yang tidak memerlukan perbincangan di parlimen.

Bagaimanapun, Mahfuz beranggapan usul yang dikemukakan beliau turut menyentuh Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Tanah Rizab Melayu.

"Mungkin speaker terlepas pandang tentang peruntukan yang saya kemukakan itu. Yang mana peruntukan undang-undang yang ada seharusnya melindungi dan mengawalselia tanah-tanah rizab Melayu ini," kata beliau.

Dalam pada itu, beliau turut meminta agar diwujudkan Lembaga Amanah Tanah Rezab Melayu berdasarkan Perkara 89 (5) Perlembagaan Persekutuan bagi mengawalselia jumlah tanah-tanah rizab Melayu yang ada, di samping mempertahankan entiti perkampungan tradisi yang sedia ada.

Katanya, penubuhan lembaga itu dilihat perlu ekoran kegagalan Majlis Tanah Negara (MTN) menjalankan tanggungjawabnya menyelaras dan menasihat negeri-negeri untuk urusan tadbir tanah.

"MTN gagal bertanggungjawab seperti yang diperuntukkan pada Perkara 89 (5) yang memperuntukkan setiap pengambilan tanah perlu diganti semula, sedangkan apa yang berlaku hari ini rakyat dipaksa keluar apabila proses pengambilan tanah berlaku seperti di Kampung Chubadak, Sentul," tegas beliau.

Berdasarkan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati jumlah keluasan tanah rizab Melayu yang direkodkan seatakat 2009 telah menyusut kira-kira 12 peratus iaitu seluas 1.6 juta hektar sahaja dari keseluruhan 12.9 juta hektar keluasan tanah di Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu, Mahfuz turut mempertimbangkan untuk meneliti semula ruang yang ada bersama peguam bagi membolehkan usul atau isu itu dikemukakan sekali lagi ke Dewan Rakyat.

Beliau turut memberi jaminan untuk menyentuh isu tersebut ketika mengambil bahagian dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman, terkejut dengan penolakan usul tersebut kerana isu sama pernah dijawab beliau ketika berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen bagi Kementerian Tanah sekitar tahun 1996 dan 1997.

"Saya berpendapat, takkan speaker menggunakan peraturan berbeza? Dulu, saya pernah menjawab soalan yang sama tentang isu ini. Mengapa sekarang tidak boleh? Kita bukan bincang pasal negeri Awang, negeri Dolah tetapi soal Majlis Tanah Negara," kata beliau yang ditemui di lobi.

Beliau mengakui ketika itu memang terdapat sejumlah tanah yang tidak diganti setelah diambil kerajaan bagi urusan pembangunan dan sebagainya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: