Selasa, 25 November 2014

SUHAKAM belum terima laporan pelarian dianiaya di pusat tahanan Malaysia

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) masih belum menerima laporan mengenai pendedahan media antarabangsa Al-Jazeera baru-baru.
 
Bagaimanapun, Bahagian Aduan dan Pemantauan Suruhanjaya akan meneliti perkara tersebut dengan serta-merta.
 
Menurut SUHAKAM, sebelum ini pihaknya ada meminta untuk perlindungan yang lebih baik terhadap hak-hak asasi pelarian dan pemohon suaka di Malaysia.
 
"Suruhanjaya telah menerima aduan mengenai isu yang dihadapi oleh pelarian dan pencari suaka, khususnya yang melucutkan hak asasi mereka untuk akses pekerjaan, pendidikan formal dan perkhidmatan kesihatan. 
 
"Suruhanjaya mengulangi saranannya kepada kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Berkaitan dengan Status Pelarian 1951," katanya kepada Antarapos melalui satu kenyataan media.
 
Minggu lalu, Al-Jazeera melaporkan pelarian yang berusaha mendapatkan suaka didapati dipukul, tidak diberi makan dan diperguna oleh pihak berkuasa di dua pusat tahanan Malaysia, di tengah-tengah dakwaan amalan rasuah oleh kakitangannya.
 
Bukan itu sahaja, media itu juga memberitahu terdapat pelarian dirantai dan digari, dan ada yang tidak menjamah makanan untuk beberapa hari.
 
Terdapat kanak-kanak ditahan – suatu yang bertentangan dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung hak kanak-kanak; dan menemui wanita ditahan selepas beberapa jam melahirkan anak.
 
Menyentuh mengenai terdapat kanak-kanak yang turut ditahan, SUHAKAM berkata pihak berkuasa kini dalam proses mengenal pasti alternatif 
 
"Kanak-kanak dalam tahanan, pada masa ini, suruhanjaya, Jabatan Imigresen dan anggota masyarakat sivil sedang dalam proses bagi membentuk satu pasukan petugas untuk melaksanakan perancangan dan pelaksanaan alternatif kepada kanak-kanak di bawah tahanan imigresen. 
 
Malah SUHAKAM juga sering mengadakan lawatan ke pusat tahanan untuk memastikan mereka ini mendapat layanan yang sewajarnya.
 
"Lawatan ke pusat tahanan adalah antara tanggungjawab suruhanjaya di bawah Seksyen 4 (2) (d) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597). 
 
"Pada tahun 2013, Suruhanjaya telah melawat 14 pusat tahanan imigresen (lawatan berkala dan berasaskan kes) di mana suruhanjaya mendapati bahawa keadaan di pusat-pusat tahanan umumnya memenuhi standard minimum, walaupun masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan," menurut kenyataan itu.
 
Di Malaysia, pelarian tidak mendapat pelindungan undang-undang kerana negara ini tidak menandatangani konvensyen PPB yang mengiktiraf pelarian.
 
Ini bermaksud mereka boleh ditahan pada bila-bila masa dan dimasukkan ke pusat tahanan.
 
Kuala Lumpur antara negara yang mempunyai populasi terbesar pelarian dan pemohon suaka, sekitar 150,000 orang.

Tiada ulasan: