Jumaat, 14 November 2014

SUARAM: Ketawalah, bukan siasat Zunar

NADIA OTHMAN


 
 
 
 
Pengarah eksekutif NGO hak asasi Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) Yap Swee Seng mengutuk tindakan pihak berkuasa yang menyiasat kartunis politik Zunar bawah Akta Hasutan 1948.

Menurut Yap, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anuar Ulhaque, dituduh menghasilkan karya kartun yang boleh memudaratkan ketenteraman awam.

Katanya lagi tindakan ke atas Zunar melanggar hak kebebasan dalam perlembagaan.

“Kami menuntut pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri untuk menegakkan hak Zunar seperti yang dijamin dalam perlembagaan.

“Hentikan semua gangguan terhadap Zunar, pembantunya, para pencetak, dan semua pemilik kedai buku (menjual buku tersebut),” katanya dalam sidang media di pejabatnya di ibu negara hari ini.

Semalam peguamnya Latheefa Koya berkata, polis memulakan siasatan terhadap Zunar disiasat bawah Seksyen 4 Akta Hasutan, yang sebab siasatannya didakwa masih belum jelas.

Seorang pengendali laman web Zunar, yang enggan namanya disebut, juga dilapor dipanggil ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur untuk memberikan keterangan.

Siasatan itu dibuat selepas tiga orang ditahan tiga minggu lalu kerana menjual buku Zunar di Istana Kehakiman Putrajaya, tempat rayuan akhir kes liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung.

Mereka bertiga disiasat bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Zunar berkata, kerajaan Malaysia takut dengan kartun walaupun negara maju seperti Amerika Syarikat dan Kanada sangat terbuka terhadap kartun politik.

“Jadi kenapa kerajaan Malaysia takut sangat kepada kartun?” soalnya.

“Ketawalah macam di Amerika, pemimpin mereka ketawa melihat apa yang dilukis mengenainya. Jadi ketawa sajalah."


NADIA OTHMAN wartawan pelatih di Malaysiakini.
 

Tiada ulasan: