Jumaat, 14 November 2014

SUARAM desak polis henti aniaya Zunar

Oleh: Fiza Halim
 
 
KUALA LUMPUR : Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengutuk sekeras-kerasnya gangguan dan penganiayaan oleh kerajaan terhadap kartunis politik Zulkifli Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali dengan nama penanya, Zunar.
 
IMG_6556Pengarah Eksekutifnya, Yap Swee Seng berkata, penganiayaan terhadap Zunar diperluaskan kepada pencetak, vendor dan kedai-kedai buku di seluruh negara apabila premis mereka diserbu.
 
Menurutnya, kerajaan juga memberi amaran kepada mana-mana pencetak untuk tidak mencetak buku kartunis itu pada masa akan datang
 
”Lebih daripada 400 salinan buku beliau telah dirampas dan lima buah buku beliau bertajuk “Perak Darul Kartun”, “1 Funny Malaysia”,”Isu Dalam Kartun”Vol. 1, 2 dan 3 telah diharamkan oleh Menteri Dalam Negeri dari 2009 hingga 2010.
 ” Zunar telah diserang oleh polis dan Kementerian Dalam Negeri kerana menghasilkan kartun yang dikatakan memudaratkan ketenteraman awam,” jelasnya dalam sidang media di pejabat Zunar, dekat Jalan Loke Yew, Pudu hari ini.

Pada 6 November lalu, tiga pembantu Zunar iaitu Rizaldy Rafie, Raja Norita dan Norliza Kassim ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Putrajaya kerana menjual dua buah buku kartun kontroversi bertajuk “Konspirasi Memenjarakan Anwar” dan “Pirate of the Carry-BN “.

Sebanyak 44 salinan buku kartun Zunar telah dirampas oleh pihak polis dan pembantunya disiasat di bawah Seksyen 8 (2) Mesin Cetak dan Akta Penerbitan 1984, Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 500 Keseksaan.

Sementara itu, pengendali laman web sesawang milik Zunar iaitu web www.Zunar.my dipanggil oleh polis untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini.

Sehubungan itu, Yap menyeru kerajaan supaya menghentikan siasatan terhadap Zunar, tiga pembantu dan pengendali laman webnya.

“Berhenti menakutkan pencetak, penerbit, penjual dan pemilik kedai buku yang bekerjasama dengan Zunar,

“Hentikan pengharaman semua buku kartun Zunar dan pulangkan semua buku yang dirampas serta hormati kebebasan bersuara dan mansuhkan Akta Hasutan,” tegasnya.

Tiada ulasan: