Kelihatan isteri kepada Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed, Masiah@Maziah Manap bersama anaknya selepas membuat lawatan ke lokasi kejadian di mana Allahyarham itu ditemui mati tiga tahun lalu, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
Kelihatan isteri kepada Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed, Masiah@Maziah Manap bersama anaknya selepas membuat lawatan ke lokasi kejadian di mana Allahyarham itu ditemui mati tiga tahun lalu, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Pegawai syarikat logistik Wan Zainalabidin Wan Zaki, yang kerap berurusan dengan kastam, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, bahawa Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed berada dalam keadaan serba salah dan buntu kerana membabitkan namanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
Wan Zainalabidin, 44, eksekutif kanan operasi eksport logistik Syarikat Schenker Logistik (Malaysia) Sdn Bhd, berkata, beliau ada menerima panggilan daripada Ahmad Sarbaini pada pukul 8.55 malam, 4 April 2011 dan daripada nada suara Penolong Pengarah Kastam Selangor itu, kedengaran seperti beliau dalam keadaan serba salah.

Wan Zainalabidin yang juga rakan kepada Ahmad Sarbaini berkata, melalui perbualan itu, Ahmad Sarbaini menyatakan bahawa beliau baharu keluar dari pejabat SPRM dan ada menyebut nama Wan Zainalabidin kepada SPRM.
 
"Apabila ditanya mengapa beliau (Ahmad Sarbaini) menyebut nama saya, Ahmad Sarbaini menyatakan dia jadi buntu dan tersebut nama saya. Ahmad Sarbaini juga ada menyatakan kepada SPRM yang saya ada bagi dia RM50 sebulan," katanya.
 
Wan Zainalabidin memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan kes tuntutan saman RM8 juta yang difailkan balu Ahmad Sarbaini, Masiah@Maziah Manap, 53, bersama anaknya, Shahril Ahmad Sarbani, 30, terhadap SPRM dan lapan lain berhubung kematian Ahmad Sarbaini di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini, pada 6 April 2011.

Wan Zainalabidin berkata, rakannya itu ada menelefonnya pada keesokan hari (5 April 2011), lebih kurang 11 pagi dan meminta supaya tidak mengaku memberi wang RM50 kepadanya jika dihubungi pihak SPRM, namun belum sempat bertanyakan lebih lanjut mengenai perkara itu, Ahmad Sarbaini meletakkan telefon.
 
"Saya ada berjumpa dengan Ahmad Sarbaini pada pukul 5.15 petang, hari yang sama (5 April) dan dalam perjumpaan itu, Ahmad Sarbaini sekali lagi menyatakan dia buntu dan berada dalam keadaan tertekan sehingga menyebut nama saya kepada  SPRM kerana hanya nama Schenker Zainal yang dia ingat dan nama itu berada dalam telefonnya," kata Wan Zainalabidin ketika disoal peguam Ho Kok Yeaw, mewakili keluarga Ahmad Sarbaini.
 
Wan Zainalabidin, yang bekerja selama 21 tahun di Schenker sejak 1990, berkata, selain kerap berurusan dengan Ahmad Sarbaini bagi urusan kerja harian, mereka juga banyak berbincang mengenai hal agama seperti urusan mandi jenazah.
 
Di awal prosiding, rakan sekerja Ahmad Sarbaini, Azman Jusoh, 48, memberitahu mahkamah, Ahmad Sarbaini pernah menceritakan pengalamannya sewaktu ditahan SPRM ketika disoal siasat berhubung dakwaan rasuah.
 
Azman yang juga Penolong Kanan Pengarah Kastam II Negeri Perak berkata, Ahmad Sarbaini pernah memberitahu kepadanya bahawa dia diejek, diherdik serta diugut secara psikologi oleh beberapa pegawai SPRM di pejabat SPRM, Jalan Cochrane.

"Arwah diejek dan diherdik atas sebab memakai seluar uniform Jabatan Kastam dan antara kata-kata pegawai berkenaan adalah dia tidak layak memakai uniform itu atas kesalahan yang dilakukan dan ada juga melakukan provokasi dengan menyanyikan lagu Jabatan Kastam dengan nada mengejek," kata Azman yang juga pasangan beregu Ahmad Sarbaini dalam permainan tenis.
 
Prosiding di hadapan Hakim Datuk Kamaludin Md Said akan bersambung esok.
 
Pada 4 April lepas, Masiah dan anaknya, Shahril memfailkan saman dengan menamakan SPRM, kerajaan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengarah SPRM Mohamed Yussuf Akope dan lima pegawai lain iaitu Mohamad Fauzi Hussin, Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamed, L. Baskar, Mohd Rosly Mohd Saupi dan Kamal Awang Besar sebagai defendan.
 
Dalam pernyataan tuntutannya, Masiah mendakwa kematian suaminya disebabkan dibunuh secara tidak sah oleh defendan-defendan sehingga menyebabkan simati mengalami kecederaan yang serius, seterusnya mengakibatkan kematiannya selain mendakwa defendan melakukan serangan mental dan serangan sentuh terhadap simati.
 
Pada 26 September 2011, Mahkamah Koroner memutuskan tiada unsur jenayah atau penglibatan pihak ketiga dalam kematian Ahmad Sarbaini.
 
Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM Jalan Cochrane di sini, 6 April 2011.
 
Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam. - Bernama