Selasa, 4 November 2014

Ribut landa Alor Setar lagi, pokok hempap kereta

MALAYSIAKINI


Kejadian ribut yang melanda Kedah terutama di daerah Kota Setar sejak beberapa hari lepas, berterusan semalam mengakibatkan beberapa pokok di sekitar bandar raya ini tumbang dalam kejadian ribut dan hujan lebat.
  
Dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang, sebuah kereta yang diletakkan berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Sultan Badlishah di sini dihempap pokok sebesar pemeluk ketika hujan lebat dalam tempoh kira-kira 15 minit.

Angin kuat mengakibatkan pokok jenis cemara itu tumbang.
  
Kejadian itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa kerana pemilik kenderaan itu, Chin Kuen Han, 32, tidak berada di dalam kereta Honda CRV itu kerana masih berada di pejabat yang terletak berdekatan tempat kejadian.
  
Chin berkata beliau menyedari kejadian itu selepas dihubungi rakannya yang melihat kejadian itu dan terus bergegas ke lokasi kejadian.
  
Katanya beliau terperanjat apabila mendapati kereta yang dibelinya empat tahun lalu remuk di bahagian cermin depan, bumbung dan cermin belakang yang menyebabkan kerugian lebih RM5,000.
  
Katanya, pada jam 4 petang lebih, ada kawan menghubunginya dan memberitahu kereta dihempap pokok runtuh.

"Saya datang tengok lepas hujan apa rosak. Nampak bumbung, cermin depan dan belakang pecah. Nasib baik saya di pejabat ketika kejadian," katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan 1 Balai Bomba Jalan Raja Ramlan Mohd Aris berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai kira-kira jam 4.56 petang.
  
"Setibanya di sana, sebuah kereta dihempap pokok besar, namun pemiliknya tiada. Usaha mengeluarkan kereta tersebut dilakukan dan Majlis Bandaraya Alor Setar turut memotong dahan pokok yang tumbang," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: