Isnin, 17 November 2014

Rafizi serah dokumen, rujuk Ahmad Maslan ke JK Hak

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli telah menyerahkan dokumen-dokumen sokongan seperti yang diminta oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung usul yang beliau failkan untuk merujuk Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Dewan Rakyat kerana memberi kenyataan yang salah berhubung tanggungan kewangan Kerajaan Persekutuan terhadap hutang-hutang 1MDB.

Katanya, dokumen itu disertakan bersama untuk makluman pihak media.

"Saya tidak dapat hadir di Dewan Rakyat pada hari ini kerana masih lagi uzur akibat viral fever sejak beberapa hari yang lalu," ujarnya dalam satu kenyataan.

Pun begitu, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan kejujuran yang dipertua dan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk memutuskan perkara itu dengan seadilnya.

Beliau sedia maklum kenyataan media Ahmad Maslan yang berpendapat perkara itu sepatutnya tidak dipanjangkan.

Namun, katanya soal hutang 1MDB adalah soal negara dan rakyat yang terbesar yang perlu terus diberikan perhatian, bukannya ditutup dengan mudah.

Walau apapun keputusan yang dipertua mengenai usul itu, Rafizi dan rakan ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang lain akan terus memberi perhatian membongkarkan masalah hutang 1MDB. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: