Jumaat, 21 November 2014

Putrajaya kini mahu kurangkan harga kereta dalam lima tahun

ANTARAPOS.COM


Post Pic



KUALA LUMPUR: Putrajaya berkata ia komited terhadap menurunkan harga kereta dalam lima tahun, selepas menyatakan sebelum ini ia akan mengekal duti eksais.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri dilaporkan memberitahu Dewan Rakyat hari ini kereta dimport, terutama jenis berenjin kapasiti pertengahan, akan diturunkan sehingga 30 peratus.

“Kerajaan akan memenuhi janjinya untuk mengurangkan harga kereta import di antara 20 hingga 30 peratus dalam lima tahun akan datang,” Hamim dipetik sebagai berkata oleh The Star.

Timbalan menteri itu menjawab soalan tambahan daripada wakil PKR dari Pandan, Rafizi Ramli.

Hamim menolak tanggapan kerajaan tidak mengotakan janjinya untuk mengurangkan harga kereta dan berkata Putrajaya hanya melewatkan melaksanakan dasar berkenaan kerana khuatir kesan negatif impak itu terhadap pasaran kereta terpakai.

“Apa akan berlaku ialah pengguna akan menumpu kepada kereta baru dan tidak lagi mahu membeli kereta terpakai,” beliau dipetik sebagai berkata.

Januari lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan belum lagi mahu mengurangkan duti kereta tetapi menimbangkan untuk melakukannya apabila kedudukan kewangan negara lebih baik.

Mustapa berkata, Putrajaya tidak dapat mengurangkan cukai tinggi dikenakan ke atas pembeli kereta kerana ia akan mengurangkan keuntungannya, memberi alasan jumlah duti eksais adalah 75 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan cukai kerajaan bagi kenderaan.

Mengurangkan harga kereta adalah antara isu utama digunakan oleh parti pembangkang untuk mendapatkan sokongan ketika Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Rafizi mendakwa rakyat Malaysia yang dibebani oleh inflasi berikutan pengurangan subsidi kini dihimpit oleh duti eksais tinggi.

Tiada ulasan: