Rabu, 5 November 2014

PTPTN: Hanya anak penerima BR1M dapat pinjaman penuh

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Bermula Sabtu lalu, Perdananan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menguatkuasakan syarat baharu iaitu pinjaman penuh hanya diberikan kepada pelajar yang ibu bapa mereka penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, dengan syarat baharu itu, bagi keluarga yang pendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000, maka anak mereka akan memperoleh 75 peratus daripada jumlah pinjaman keseluruhan.

"Bagi mereka yang mempunyai pendapatan melebihi jumlah berkenaan, anak mereka hanya akan menerima pinjaman tidak lebih daripada 50 peratus jumlah keseluruhan pinjaman," katanya dipetik mStar Online.

Menurut laporan itu, pengenalan langkah baru itu menyaksikan pengurangan sebanyak 5 peratus bagi pinjaman di institusi pendidikan tinggi awam dan pengurangan sebanyak 15 peratus di institusi pendidikan swasta.

Jumlah pinjaman keseluruhan bagi kursus diploma di universiti tempatan kini juga dikurangkan daripada RM5,000 kepada RM4,750 sementara pinjaman bagi kursus ijazah pula dikurangkan daripada RM6,500 kepada RM6,180.

Bagi kursus diploma di kolej swasta pula jumlah keseluruhan pinjaman dikurangkan daripada RM8,000 kepada RM6,800. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: