Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff (kiri) bersama pegawainya menunjukkan antara kereta mewah yang berjaya dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff (kiri) bersama pegawainya menunjukkan antara kereta mewah yang berjaya dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama
 
 
JOHOR BAHRU - Polis Johor menumpaskan sindiket curi kenderaan mewah di negeri ini dalam 12 siri serbuan di daerah Johor Bahru Selatan baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam kesemua serbuan pada 12 November lepas, seramai empat lelaki dan dua perempuan, yang kesemuanya warga tempatan, ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket terbabit.

"Kesemua suspek yang berusia 17 hingga 35 tahun itu juga disyaki terlibat dalam aktiviti pecah rumah di Johor, Perak dan Kuala Lumpur dan penangkapan ini membolehkan polis berjaya menyelesaikan 35 kes pecah rumah di tiga negeri itu," kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas tujuh kereta mewah berjenama seperti Lexus, Mini Cooper, BMW dan Mercedes Benz serta sebuah motosikal BMW.    Kesemua kenderaan itu dilaporkan hilang di Pulau Pinang, Perak dan Selangor, kata beliau.

Mohd Mokhtar berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan bermotor yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, iaitu pecah rumah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun. - Bernama