KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang selama ini gagal melaksanakan tugasnya, kini berpeluang untuk memperbaiki imej dan kredibiliti mereka dengan tidak menjadikan tarikh proses persempadanan semula sebuah permainan teka-teki sebagaimana yang dilakukan oleh Perdana Menteri (dahulu dan sekarang) kepada tarikh pilihan raya umum (PRU).
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengulangi seruan kepada SPR supaya mengumumkan rancangan keseluruhan bagi persempadanan semula seawal yang mungkin supaya orang awam digalakkan menyertai proses itu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Keterbukaan SPR dalam hal ini menjadi amat penting memandangkan orang ramai hanya mempunyai 30 hari di bawah undang-undang yang sedia ada untuk mengambil bahagian dalam proses ini," ujar Bersih 2.0 dalam satu kenyataan.
Walhal, menurut kenyataan itu, orang ramai sepatutnya diberi sebanyak masa yang mungkin untuk meneliti cadangan SPR yang akan memberi kesan terhadap keputusan PRU14 dan PRU15.
Tambahan lagi, kata Bersih 2.0 jikalau cadangan yang dikemukakan oleh SPR adalah tidak adil dan melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan, maka pengundi berhak untuk membantah cadangan tersebut dan SPR harus memberi masa dan ruang yang sewajarnya untuk memudahkan penglibatan pengundi dalam proses itu.
Bersih 2.0 juga mengingatkan SPR agar tidak menjalankan proses persempadanan semula itu pada musim perayaan yang akan datang kerana 25 Disember merupakan cuti perayaan Krismas, diikuti dengan cuti Tahun Baru pada 1 Januari dan Tahun Baru Cina pada bulan Februari.
"Jelas bahawa sekiranya persempadanan dijalankan ketika tempoh-tempoh ini, ia akan mengganggu penglibatan pengundi, dan SPR akan dilihat sebagai berniat jahat dalam menafikan penyertaan umum," ujar kenyataan itu lagi.
Dalam keadaan sebegini, SPR mestilah menanggung segala tanggungjawab bagi apa-apa pergolakan politik yang terhasil.
Bersih 2.0 memberi amaran kepada SPR agar tidak menjalankan proses persempadanan semula ini secara tergesa-gesa kerana persempadanan yang bakal dilakukan ini akan memberi kesan dalam penentuan keputusan PRU14 dan PRU15 akan datang.
"Demokrasi bukannya permainan untuk mengejutkan pihak yang bukan berkuasa," tambah Bersih 2.0 lagi. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan