Sabtu, 22 November 2014

Perginya seorang tokoh murabbi ummah

RAZMAN ZAKARIA


إنا لله وإنا إليه راجعون .. اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه . اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه واكرم نزله ووسع مدخله واغسله بالماء والثلج والبرد ونقه من الخطايا كما نقيت الثوب الابيض من الدنس وابدله دارا خيرا من داره وأدخله الجنة وأعذه من عذاب النار

Menerima berita kematian Ustaz Kamaruddin Awang Basir, Ketua Dewan Ulamak PAS Perak. Kehilangannya sangat dirasai, apabila pergi menemui Allah sebagai seorang Ketua Dewan Ulamak yang menjadi saksi perjuangannya hingga ke akhir hayat.

Baru sahaja beberapa hari lepas saya bersama rakan-rakan menziarahi beliau di hospital. Dengan kehebatannya khususnya dalam bidang Tauhid dan Usuluddin, beliau mencetak ilmu-ilmu di dalam dada kader-kader perjuangan PAS.

Hari Jumaat 21 November, bersamaan 28 Muharram 1436, jam 9 pagi, di celahan waktu dhuha yang tenang, murabbi ummah ini menghembuskan nafas akhirnya. Saya tercari-cari pelapis generasi muda yang bakal menyoroti silsilah perjuangannya.

Beliau pernah menyandang jawatan Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, pernah diberi amanah sebagai Pengetua Maahad Ihya as-Syarif di era kebangkitan Islam di sana, sehinggalah pernah menjawat sebagai Pesuruhjaya PAS Perak.

Setelah berhenti berkhidmat di Maahad Ehya As-Syarif, beliau menubuhkan pusat pendidikan Darul Taalim, mendidik tanpa mengira umur dan masa sehinggalah menemui Allah pada hari ini pusat pendidikan tersebut masih terus memberi jasa kepada masyarakat.

Ketegasan berprinsip di zaman mudanya, berterusan sehinggalah menjawat Ketua Dewan Ulamak PAS Perak yang menjadi saksi jasanya di dalam PAS di hadapan Allah SWT.

Pengalaman yang luas, sepenuh umurnya sarat dengan usaha meninggikan kalimah Allah yang dahulunya menjadi asing bagi manusia, sehinggalah ke hari ini Islam mula dikenali di Malaysia dan Perak khususnya.

Bertepatan dengan tema Muktamar PAS baru-baru ini, "Terus Beristiqamah". Beliau wajar dijadikan contoh tauladan yang beristiqamah sehingga ke penghujung.

Jumaat dua minggu lepas, 7 November merupakan Liq Fikri PAS Perak di Markas Tarbiah PAS Air Kuning, beliau menghadirkan diri walaupun keuzuran.

Semoga semangat juangnya berterusan ke dalam jiwa kader-kader gerak kerja Islam PAS. - HARAKAHDAILY

(*)  Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Perak.

Tiada ulasan: