Selasa, 4 November 2014

Pemuda PAS WP lapor polis isu kenyataan Ku Nan

MALAYSIAKINI


 


Pemuda PAS Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dilapor mendakwa PAS sebagai parti yang membawa ajaran sesat, dalam satu ucapannya.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Khairil Nizam Khirudin di Balai Polis Dang Wangi Kuala Lumpur kira-kira jam 1.20 petang ini.

Dalam laporan polis itu, beliau menyifatkan kenyataan Tengku Adnan dalam Multaqa Biro Agama Umno kelmarin "bersifat fitnah" dan "boleh mencemarkan nama baik PAS di kalangan ahli dan masyarakat".

"Justeru, kami memohon supaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dapat disiasat motif ucapannya kerana ia begitu sensitif apatah lagi ia bersifat fitnah," laporan polis itu dipetik.

Dalam laporan polis itu juga, Khairil Nizam turut memetik Tengku Adnan yang dilapor sebagai mendakwa PAS sebagai parti yang menyebarkan fitnah dan menyalahgunakan ayat alQuran untuk kepentingan politik.

Keratan dari kenyataan menteri wilayah persekutuan itu turut dilampirkan ketika laporan polis itu dibuat, kata Khairil dalam laporan polis itu.

Turut hadir bersamanya Ketua Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya dan beberapa anggota Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Bercakap dalam sidang media kemudiannya, Azhar mencabar Tengku Adnan untuk berdebat secara terbuka tanpa syarat demi mencari kebenaran.

"Kami mahu mencari kebenaran kerana beliau melontarkan satu tuduhan kesesatan. Sesat ini tuduhan yang berat,” katanya sambil menambah pihak tidak redha dengan "tuduhan"  pemimpin Umno itu.

"Maka saya bertanggungjawab untuk melihat makhluk mana yang telah merosakkan PAS, tanpa syarat kami memberi laluan kepada beliau untuk berdebat," katanya lagi.

Tiada ulasan: