Gambar Hiasan Gambar Hiasan
 
 
KOTA KINABALU - Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) menguatkuasakan peraturan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.

Beliau berkata beliau akan memantau perkara itu secara serius bagi memastikan peraturan berkenaan dilaksanakan sesuai dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang melambangkan identiti bangsa Malaysia.

"Selama ini memang kita telah menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu di premis perniagaan atau tempat awam. Bagaimanapun kita juga tahu masih ada penggunaan bahasa kebangsaan yang tidak tepat.

"Oleh itu saya meminta PBT memeriksa dan menguatkuasakan peraturan penggunaan bahasa kebangsaan di premis perniagaan dan tempat awam. Kita akan pantau dan saya akan sentiasa melihat perkara ini sebagai keutamaan kita di PBT," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar 'Pemartabatan Bahasa Kebangsaan' anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah di sini hari ini. Hadir sama Pengarah DBP Sabah, Asmiah Ajamain.

Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji berkata Sabah perlu muncul sebagai negeri yang secara nyata memancarkan citra budaya dan bangsa Malaysia melalui bahasa kebangsaan sejajar dengan gagasan 1Malaysia.

Menurutnya, sebagai warganegara yang bertanggungjawab, adalah menjadi kewajipan kepada semua pihak untuk bersama-sama memajukan bahasa kebangsaan agar ia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bahasa lain di dunia. - Bernama