Oleh: Nadia Hanafi
KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat hari ini menyerahkan petisyen bagi memohon kerajaan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggugurkan semua pendakwaan di bawah akta tersebut.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, petisyen yang ditandatangani 3,005 penama itu diserahkan olehnya kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada jam 11.40 pagi
“Saya memohon supaya usul yang dikemukakan berdasarkan Peraturan Mesyuarat 19 ini dapat dibahaskan pada Isnin, 24 November depan,” katanya dalam sidang media di lobi parlimen.
Menurut Khalid, mereka yang menandatangani petisyen tersebut juga akan berarak dari Padang Merbok ke pintu masuk Parlimen pada hari yang sama untuk menyatakan sokongan bagi memansuhkan akta itu.
Melalui petisyen tersebut, mereka mendakwa Akta Hasutan digunakan untuk menjenayahkan ucapan demokratik, termasuk kritikan terhadap kerajaan, pemimpin, atau parti politik pemerintah. Ia katanya, dengan menjadikan ahli politik sebagai sasaran termasuk peguam, aktivis sosial, dan rakyat biasa.
Mereka juga berkata, penggunaan Akta Hasutan semakin meluas walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib berjanji untuk memansuhkan akta ini pada 11 Julai 2012 dan 3 Julai 2013.
“Adalah amat memeranjatkan, walaupun janji dibuat kepada rakyat Malaysia, namun penggunaan akta ini meningkat berleluasa,” kata petisyen itu.
Oleh yang demikian, mereka menuntut Dewan Rakyat mendesak kerajaan memansuhkan akta berkenaan dan menggugurkan serta membebaskan mereka yang didakwa di bawah akta itu. Mereka juga menggesa kerajaan memastikan tiada gantian undang-undang yang sama dengan Akta Hasutan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan