Rabu, 12 November 2014

PAC ‘hidu’ unsur rasuah dalam projek loji insinerator

PAC juga mendapati KPKT gagal untuk meneliti cadangan pemilihan teknologi oleh Syarikat XCN Technology Sdn Bhd (XCNT).

Rasuah



KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed menyatakan bahawa pihaknya ‘menghidu’ unsur rasuah dalam projek loji insinerator yang bernilai RM187.74 juta.

Ekoran prestasi fizikal projek yang kurang memuaskan, PAC telah memanggil Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Ketua Pengarah (KP) Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) beserta penjawat awam yang lain.

Isu loji insinerator ini timbul apabila projek ini mendapat liputan daripada media massa. Oleh yang demikian, kajian audit terhadap projek ini telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tahun 2012, siri 2 yang telah dibentangkan di Parlimen pada 1 Oktober 2013.

“Sama ada timbul atau tidak isu rasuah itu adalah tidak jelas. Ia terpulang kepada pihak kerajaan untuk memanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam satu sidang media di Parlimen, hari ini.

Bukan itu sahaja, PAC juga mendapati KPKT gagal untuk meneliti cadangan pemilihan teknologi oleh Syarikat XCN Technology Sdn Bhd (XCNT).

“Jawatankuasa Penilaian Teknologi Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan hanya menilai teknologi ini berdasarkan kertas cadangan sahaja. Jawatankuasa Penilaian tidak membuat ‘due dilligence’ dengan lawatan tapak ke projek rintis di Majlis Perbandaran Kuala Terengganu dan Perwaja Steel serta protaip di UiTM Shah Alam,” katanya.

Tambah Nur Jazlan lagi, penilaian projek ini dibuat secara terus. Bahkan Syarikat XCNT telah dipilih dan diberikan projek bernilai RM200 juta.

“Bila kita buat penilaian, secara jelas mereka merupakan syarikat yang tidak layak untuk melaksanakan projek insinerator ini.

“Bahkan, syarikat itu juga tidak pernah serta tidak pernah mempunyai latar belakang untuk membuat insinerator,” ujarnya lagi.

Ujar Ahli Parlimen Pulai itu lagi, pihak KPKT haruslah mengambil tindakan sewajarnya terhadap kecuaian KSU KPKT, dan Ketua Pengarah JPSPN, kontraktor XCNT, dan pakar dari UTM dan juga Principal Analist, MiGHT.

“Ia ekoran projek insinerator ini gagal disiapkan dan tidak beroperasi mengikut spesifikasi dalam tempoh yang ditetapkan.

“Hanya loji insinerator di Cameron Highlands dapat disiapkan dalam tempoh ‘extension of time’ namun beroperasi dengan kelewatan selama 518 hari dari tarikh siap,” katanya.

Loji insinerator ini dibina di 5 lokasi iaitu di Pulau Pangkor, Pulau Langkawi, Cameron Highlands, Pulau Tioman dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Tiada ulasan: