Jumaat, 14 November 2014

P Pinang catat lebihan RM453 juta, disahkan Ketua Audit Negara


pix pemimpin pulau pinang

Roketkini.com


GEORGE TOWN: Pulau Pinang berjaya mencatatkan lebihan belanjawan sebanyak RM453 juta diantara tahun 2008 hingga 2013, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Dalam ucapan penggulungan sempena belanjawan negeri 2015, beliau berkata, kedudukan kewangan Pulau Pinang bertambah kukuh sejak enam tahun lalu hasil kawalan dalaman, amalan perbelanjaan berhemah dan usaha berterusan bagi menambah hasil.

“Kejayaan kerajaan Pulau Pinang dalam pengurusan kewangan negeri tertera dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

“Belanjawan defisit menjadi isu dibangkitkan pembangkang. Namun berdasarkan kecekapan pengurusan kewangan kerajaan negeri, lebihan belanjawan dicatat setiap tahun sebanyak RM453 juta sejak 2008 hingga 2013.

“Sekiranya Ketua Pembangkang ada bukti lebihan ini dimanipulasikan, tolong kritik Ketua Audit Negara kerana penyata kewangan ini disahkan oleh beliau.

“Janganlah sebar fitnah jahat semata-mata untuk kepentingan politik,” kata Guan Eng dipetik dari ucapan penggulungan belanjawan 2015 Pulau Pinang, hari ini.

Guan Eng dalam ucapan belanjawan 2015 pada 7 November lalu berkata, LKAN memuji kemampuan Pulau Pinang mengubah anggaran defisit RM262.04 juta dalam Belanjawan 2013 kepada lebihan RM1.30 juta pada 2014.

Beliau berkata, dengan mengambil kira jangkaan hasil 2015 berjumlah RM656.93 juta berbanding perbelanjaan mengurus sebanyak RM887.24 juta, ia menjadikan Bajet 2015 mengalami defisit sebanyak RM230.31 juta.

Namun ia menurun sebanyak RM25.13 juta berbanding anggaran defisit 2014 berjumlah RM255 juta selaras matlamat kerajaan negeri mengurangkan defisit secara berterusan.

“Anggaran defisit atau kekurangan RM230.31 juta yang dijangka dalam Belanjawan 2015 akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki RM826 juta pada akhir tahun 2013,” kata Setiausaha Agung DAP itu lagi.

Kekal destinasi utama pelaburan

Selain itu, katanya lagi, statistik Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) menunjukkan Pulau Pinang kekal menjadi destinasi utama pelaburan asing dan tempatan.

Pulau Pinang mencatat 130 peratus peningkatan Pelaburan Langsung Tempatan (DDI) dalam dan 75 peratus Pelaburan Langsung Asing (FDI) sepanjang enam tahun pentadbiran Pakatan Rakyat.

Statistik MIDA menunjukkan DDI ke Pulau Pinang bagi tempoh 2008-2013 berjumlah RM13 bilion, berbanding RM 5 bilion di bawah pentadbitan BN bagi tempoh 2002 – 2007.

Manakala FDI bagi tempoh sama pula mencatat jumlah keseluruhan RM40 bilion, berbanding RM21 billion bagi tempoh 2002-2007.

“Sekiranya kerajaan negeri mendapat kerjasama penuh daripada kerajaan Persekutuan, nescaya jumlah pelaburan ini akan meningkat lagi,” katanya lagi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: