Selasa, 11 November 2014

Operasi JPJ: Kaedah penuhkan kantung kerajaan?

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyambut baik usaha Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawabnya dengan menggiatkan operasi menyeluruh di seluruh negara.

Ketua Penerangannya, Mohd Syamsul Alauddin berkata kesungguhan tersebut disokong dan disambut baik oleh Pemuda PAS oleh kerana ia adalah bertepatan dengan misi serta matlamat jabatan kerajaan tersebut.

"Namun begitu, kami menyatakan kekesalan di atas operasi yang tertumpu kepada kesalahan-kesalahan remeh seperti mengubahsuai nombor plat serta memasang lampu tambahan (lampu strob) dan lampu HID 'head lamp'," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pihaknya mengakui ia adalah satu kesalahan mengikut peraturan yang ditetapkan namun ia bukanlah penyumbang utama terhadap permasalahan yang sebenar.

Justeru, katanya Pemuda PAS sangat lucu dengan kenyataan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad yang seolah-olah mengaitkan kesalahan berkaitan pengubahsuaian nombor plat dengan kadar kematian di jalan raya.

Beliau berkata, ia adalah satu tanggapan yang menyimpang kerana tidak ada kena mengena kadar kemalangan jalanraya dengan faktor remeh tersebut.

"Pihak kami mempersoalkan apakah tindakan bersepadu dengan memfokuskan kesalahan remeh itu adalah usaha untuk 'menjerut rakyat' dengan mengenakan saman bagi memenuhkan kantung kerajaan," katanya lagi.

Sehubungan itu, ujarnya sangatlah tidak wajar mengenakan saman kepada rakyat dengan kesalahan kecil itu sedangkan banyak lagi kesalahan besar yang dilakukan terlepas begitu sahaja.

Jika itu adalah tujuannya, tambah beliau maka ia adalah satu tindakan yang tidak wajar apabila kesalahan tersebut bukanlah satu kesalahan yang besar sebaliknya ianya hanya berkisarkan tentang etika pengguna kenderaan semata-mata.

Katanya lagi, Pemuda PAS berpandangan, JPJ seharusnya menumpukan kepada kesalahan-kesalahan yang lebih berat termasuklah lebihan muatan oleh pemandu lori yang sangat memberi risiko kepada pengguna jalanraya yang lain.

"Kami juga tidaklah membantah jika JPJ bertindak keras kepada kesalahan-kesalahan yang besar termasuklah memandu laju yang sememangnya antara penyumbang kepada kadar kemalangan jalanraya.

"Bertindak matanglah dalam mengenakan tindakan, fikirkanlah dengan rasional terhadap apa jua penguatkuasaan dengan memikirkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan keuntungan kepada kerajaan," ujarnya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: