Ahli Parlimen Segambut-DAP, Lim Lip Eng (tengah) menunjukkan gambar menunjukkan nombor plat kenderaan rasmi menteri dan timbalan menteri tidak mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di lobi bangunan Parlimen, di ibu negara, hari ini. - Foto Sinar Harian Online oleh NIZAM ZAIN. Ahli Parlimen Segambut-DAP, Lim Lip Eng (tengah) menunjukkan gambar menunjukkan nombor plat kenderaan rasmi menteri dan timbalan menteri tidak mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di lobi bangunan Parlimen, di ibu negara, hari ini. - Foto Sinar Harian Online oleh NIZAM ZAIN.
 
 
 
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen pembangkang menggesa menteri dan timbalan menteri supaya menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dengan memastikan nombor plat kenderaan rasmi mereka mengikut spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng menegaskan, pemimpin negara tidak sepatutnya mengamalkan sikap ‘double standard’ dengan mengenakan tindakan tegas terhadap rakyat sedangkan mereka sendiri didakwa ingkar kepada garis panduan nombor plat kenderaan JPJ itu.
"JPJ kata mesti mengikut Font, saiz, jarak dan tidak boleh mengelirukan, malah kelmarin saya baca dalam surat khabar mereka melonggarkan syarat-syarat, tapi nombor plat itu tidak boleh mengelirukan.

"Tapi Isnin lalu saya dapati dua kenderaan milik seorang menteri dan timbalan menteri menggunakan nombor plat mengelirukan iaitu 505 dilihat seperti SOS.

"Font dan jaraknya terlalu rapat juga tidak ikut spesifikasi JPJ, perkara ini dilakukan menteri di Parlimen," katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Bermula 1 November lalu, JPJ memulakan tindakan keras di seluruh negara terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dan spesifikasi nombor plat dan lampu HID ‘head lamp’ yang tidak mematuhi standard.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, kira-kira 1,500 anggota akan terlibat dalam operasi itu yang akan dilaksanakan bersama-sama dengan anggota polis trafik dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).