Jumaat, 7 November 2014

Nik Nazmi bebas lagi, akan saman AG

MALAYSIAKINI


 


Anggota exco Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad yang didakwa sebanyak tiga kali oleh Pejabat Peguam Negara atas kesalahan sama, dibebaskan lagi hari ini, kali ini oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Dalam keputusan hari ini, Hakim Datuk Abdul Halim Aman berkata beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan 25 April, yang membebaskan Nik Nazmi atas tuduhan menganjurkan perhimpunan tanpa mengemukakan notis.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu juga mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman yang memperuntukkan kesalahan Nik Nazmi itu sebagai tidak mengikut perlembagaan.

Seksyen berkenaan mentakrifkan perhimpunan spontan sebagai jenayah, dan menyediakan hukuman denda sehingga RM10,000.

Peguam Nik Nazmi, N Surendran berkata beliau berharap tiada lagi tuduhan baru dikenakan ke atas anak guamnya itu yang “mungkin mencipta sejarah sebagai orang yang paling kerap dibebaskan atas tuduhan sama”.

Dalam satu tulisan di Twitter selepas keputusan Mahkamah Tinggi itu, Nik Nazmi berkata beliau akan mengemukakan sama ke atas peguam negara kerana mendakwa beliau berulang kali “dengan niat jahat”.

“Saya telah meminta peguam mempercepatkan proses menyaman peguam negara kerana pendakwaan jahat ini,” katanya.

Tiada ulasan: