Tiong Lai (tengah) diberi penerangan Buku Pelan Keselamatan Jalan Raya oleh Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Dr Tam Weng Wah (dua, kanan), semalam. Tiong Lai (tengah) diberi penerangan Buku Pelan Keselamatan Jalan Raya oleh Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Dr Tam Weng Wah (dua, kanan), semalam.
 
 
KOTA BHARU - Kerajaan menghormati keputusan keluarga mangsa tragedi MH370 menyaman MAS dan pada masa sama turut melahirkan simpati atas nasib menimpa mereka.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya turut merasai kesedihan dan kesusahan dialami keluarga terbabit.

“Kita hormat kerana itu hak masing-masing. Kita simpati dan bersama mereka untuk menghadapi keperitan serta kesedihan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) ke-55 di sini, semalam.

Oktober lalu, dua anak kepada salah seorang penumpang MH370 memfailkan saman terhadap MAS, juga empat  jabatan berkaitan bagi menuntut ganti rugi atas dakwaan memungkiri perjanjian penerbangan setelah gagal mendarat di Beijing (China) tanpa sebarang maklumat akhir.

[ARTIKEL BERKAITAN: Anak penumpang MH370 saman MAS]

Mengulas mengenai perkembangan MH17, beliau berkata, pihaknya masih lagi berunding bagi membolehkan pasukan penyiasat masuk ke lokasi tragedi walaupun pada musim sejuk.

“Pasukan penyiasat kini menunggu untuk ke Ukraine untuk meneruskan pencarian bahan bukti," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, purata kematian 19 kes sehari akibat kemalangan jalan raya di negara ini dianggap terkawal.

“Kita boleh perbaiki lagi dan ia tidak boleh dibandingkan dengan dunia lain kerana yang penting, kita dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dengan memperbaiki sikap pemandu.

“Bawa kereta laju menjadi salah satu punca kematian yang tinggi dan bagi mengatasinya, pemandu perlu memberi kerjasama mengikut peraturan pada papan tanda kelajuan,” katanya.