SELANGOR KINI
SHAH ALAM : Orang ramai boleh memberikan pandangan dan idea kepada Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkenaan harapan mereka untuk Belanjawan Selangor 2015.
“Apa harapan rakyat Selangor untuk Belanjawan Selangor 2015? Sila kongsikan pandangan dan cadangan anda dengan saya,” tulis Mohamed Azmin di laman Facebooknya.
Belanjawan Selangor 2015 akan dibentangkan pada 24 November ini yang merupakan pembentangan kali pertama untuk Mohamed Azmin selepas menjawat Menteri Besar Selangor yang baru.
Antara pandangan diberikan orang ramai, Syuhaida Abd Rani, berharap Kerajaan Selangor mewujudkan pusat khas pembelajaran untuk anak Kelainan
Upaya (OKU) khusus untuk pesakit celebral palsy.
“Zaman sekarang amat sukar kami nak masukkan anak OKU,kami ke pusat pembelajaran yang biasa, pendidikan khas yang ada pun amat terhad. Semuanya menolak kehadiran anak-anak OKU ini.
“Apabila kami kemukakan masalah kami ini kepada JKM, tiada apa respon dan tiada tindakan. Jadi MB Azmin, tolonglah bantu masa depan kanak-kanak ini, mereka pun ingin berjaya seperti kanak-kanak tipikal lain.
“Harap bajet Selangor dapat mempertingkatkan lagi bantuan dan pendidikan golongan OKU termasuk bagi ibu-bapa anak-anak OKU yang berada dalam golongan gaji pertengahan ke bawah,” tulisnya.
Din Yon pula berharap agar pembinaan rumah mampu milik rakyat untuk RM200,000 ke bawah diperbanyakkan khusus untuk anak muda yang baru memulakan hidup baru.
“Pelihara sungai di seluruh Selangor, pendatang tanpa izin dan juga kemasukan warga luar yang tidak terkawal..terutama warga Afrika yang terlalu ramai, ” tulisnya.
Alif Kaven berharap Belanjawan Selangor 2015 ini memberikan penumpuan kepada kenaikan gaji Guru KAFA yang masih tertangguh.
“Tolong pantau dan percepatkan kenaikan gaji guru-guru KAFA selangor yang sebelum ini selama dua tahun hanya laungan ‘ bakal kenaikan gaji guru KAFA’ dan tolong beri skim rumah mampu milik khas bagi guru-guru KAFA.
“Ini kerana memang tak lepas nak mohon pinjaman bank untuk beli rumah sendiri apatah lagi terpaksa menyewa seumur hidup atau terpaksa balik kampung bila bersara,” tulisnya.
Orang ramai boleh menyatakan harapan itu di www.facebook.com/MohamedAzminAli.EZY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan