Jumaat, 14 November 2014

Mayat Wanita tanpa Kepala ditemui dalam Tangki Kumbahan

RAKYATNEWS


alt
 


KUALA LUMPUR - Mayat seorang wanita dipercayai warga asing ditemui tanpa kepala, kedua-dua belah tangan dan kaki di dalam tangki kumbahan di sebuah rumah banglo di Jalan Seri Murni 11, Bukit Damansara, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Muhammad Azlee Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mayat mangsa, dipercayai warga Indonesia, ditinggalkan di dalam tangki tersebut kira-kira dua hingga tiga minggu.

"Kita menerima laporan daripada orang awam yang tinggal berdekatan kerana terdapat bau yang busuk dari rumah berkenaan. "Hasil siasatan awal polis mendapati, wanita itu dipercayai dibunuh." katanya.

Beliau berkata ekoran penemuan itu, polis menahan lapan lelaki, enam daripadanya warga Nepal dan dua lagi warga Bangladesh bagi membantu siasatan.

Motif kejadian masih disiasat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata sebuah jentera dan enam anggota bomba dari Balai Bomba Sri Hartamas dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Pada pukul 9.37 malam, penyelia operasi melaporkan telah menyedut air menggunakan pam angkut dan mendapati mayat seorang wanita tanpa kepala, tangan dan kaki.

"Hanya tinggal badan dan diserahkan kepada pihak polis," katanya dalam kenyataan media.

Tiada ulasan: