Ahmad Shabery Cheek Ahmad Shabery Cheek
 

KUALA LUMPUR - Kerajaan berjaya mengurangkan kos majlis sambutan Hari Kemerdekaan daripada RM20 juta tahun lalu kepada RM17 juta tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery Cheek berkata, kos itu melibatkan pelbagai acara termasuklah doa di Dataran Merdeka, kempen kibar Jalur Gemilang, Memori Chow Kit Road 2.0, amanat merdeka dan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos.

Katanya, daripada jumlah itu kerajaan turut mendapat tajaan daripada syarikat swasta sebanyak RM10 juta.

"Sambutan kemerdekaan menelan belanja besar tapi kita mendapat bantuan daripada syarikat swasta. Ini menunjukkan kita boleh memeriahkan sambutan kemerdekaan tanpa menggunakan peruntukan kerajaan sepenuhnya.

"Misalnya daripada tahun lepas kita minta pawagam memainkan lagu Negaraku sebelum tayangan filem bermula. Pihak pawagam tidak mengenakan sebarang caj untuk tujuan ini," katanya ketika menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) di sesi Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab persoalan Lip Eng, Shabery turut menjelaskan, pengurangan kos itu juga tiada kaitan dengan sambutan kemerdekaan yang dilakukan secara sederhana bagi menghormati tragedi MH17 dan MH370.

"Peruntukan sambutan kemerdekaan telah diberi sejak tahun lalu dalam Bajet 2013. Ketika itu, kita pun tidak menjangka tragedi MH17 dan MH370 akan berlaku.

"Jadi kita memang telah berbelanja dengan berhemah," katanya.

Dalam sesi tersebut, Shabery turut menegur Lip Eng yang bertanyakan sama ada kos sambutan kemerdekaan tahun depan akan bertambah susulan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Di mana kita nak bagi GST? Adakah kita nak kutip GST pada orang yang sambut hari merdeka di Dataran Merdeka?

"Saya rasa Yang Berhormat tidak faham soal GST dan soal kenegaraan," katanya.