Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
 
 
MELAKA - Satu kertas putih mengenai ancaman kumpulan militan yang digelar IS akan dibentang di Parlimen dalam masa terdekat, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata langkah itu merupakan pendekatan proaktif kerajaan dalam membanteras penularan IS di negara ini selain memastikan pihak keselamatan mempunyai segala apa yang diperlukan untuk mempertahankan keselamatan negara.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membentangkan kertas putih itu yang dihasilkan melalui kerjasama pelbagai pihak seperti Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan agensi risikan negara.

"Ini (ancaman IS) bukan satu perkara yang belum kita lalui sebelum ini tapi ancamannya baharu...players, actorsnya baharu dan mereka menggunakan media sosial selain mempunyai banyak sumber kewangan," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Terdahulu, Hishammuddin dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri dalam Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Sempena Hari Jadi Ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Hishammuddin berkata kumpulan militan IS juga melihat sesiapa sahaja yang tidak bersama mereka sebagai musuh dan sehubungan itu kerajaan perlu memikirkan cara bagaimana hendak berdepan dengan kumpulan itu yang dilihat cukup kompleks.

"Saya ingin maklumkan kepada orang ramai bahawa ancaman IS ini merupakan sesuatu yang kita bukan boleh ambil mudah, kebelakangan ini saya telah berbincang dengan ramai pemimpin antarabangsa dan serantau bagi menangani ancaman ini," katanya. - Bernama