SHAH ALAM: Tindakan berdolak-dalih kerajaan Persekutuan dalam memberi
tekanan ke atas beberapa syarikat agar menandatangani perjanjian
penstrukturan semula air Selangor menyebabkan isu itu tertangguh
sehingga kini.
Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berkata tempoh menandatangani
perjanjian itu hampir tamat dan pihaknya tidak akan berdiam diri
sehingga kata putus dapat dicapai.
Malah, tegas Azmin beliau tidak mahu berlaku kelewatan dalam
pelaksanaan itu kerana ia akan memberi kesan kepada pengguna dan rakyat
negeri itu.
“Sepertimana dinyatakan menteri dalam tempoh lima minggu ada perjanjian
yang perlu ditandatangani antara syarikat konsesi dengan Kerajaan
Negeri untuk pelaksanaan dan tempoh itu akan tamat dalam masa terdekat.
“Tetapi Kerajaan Pusat masih berdolak dalik dan tidak mengenakan satu
tekanan pada syarikat berkenaan untuk selesaikan penstrukturan industri
air ini,” katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian Hari Tadika
Selangor 2014 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), pagi tadi.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan kerajaan Pusat yang terus
melengah-lengahkan pelaksanaan penstrukturan industri air di Selangor.
Dalam pada itu kata Azmin, sehingga kini pihak kementerian tidak
memberi jawapan berhubung permohonan mendedahkan isi kandungan
perjanjian air.
“Surat saya yang dihantar tiga minggu lepas kepada menteri mohon
kerajaan Persekutuan untuk mendedahkan kandungan perjanjian tersebut,
malang sekali tidak dijawab sehingga hari ini.
"Oleh kerana tempoh menandatangani perjanjian antara syarikat konsesi
dengan kerajaan negeri akan tamat dalam masa terdekat maka kerajaan
negeri akan keluarkan kenyataan rasmi esok,” katanya lagi.
Kerajaan Negeri September lalu memeterai perjanjian induk
pengambilalihan industri air dengan disaksikan mantan Menteri Besar, Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Menteri Tenaga Sains, Teknologi dan
Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.
Perjanjian air itu pada awalnya ditandatangani Khalid sebagai timbal
balik kepada kelancaran program penstrkturan semula insdustri air di
Selangor.
Namun sehingga perjanjian air yang membolehkan projek Langat 2
diteruskan ditandatangani, perjanjian antara kerajaan negeri Selangor
dengan syarikat konsesi masih belum dimeterai.
Dalam perkembangan berlainan, Azmin berkata kerajaan Negeri kini dalam
usaha mencari mekanisme bagi memastikan setiap kanak-kanak di Selangor
memperoleh akses kepada pendidikan termasuk golongan istimewa.
Menurut Azmin, iltizam itu selaras dengan perlembagaan Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menggariskan kanak-kanak cacat anggota
juga patut diberikan penjagaan dan sokongan termasuk hak untuk
mendapatkan pendidikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan