MALAYSIAKINI
Sambutan Kempen Switch Off’14 ‘Rancangan tergendala’ di luar jangkaan
apabila hampir 3,000 orang hadir termasuk selebriti terkenal dan para
karyawan seni.
Program yang diadakan di Dataran Zoo Negara, Hulu Kelang Selangor
semalam dibanjiri dengan penyokong yang majoritinya berpakaian serba
hitam sebagai solidariti terhadap kempen itu.
Antara selebriti popular yang hadir ialah Fauziah Nawi, Datuk Ahmad
Tarmimi Siregar, Fizz Fairuz, Afdlin Shauki, Mustafa Kamal, Norish
Karman, Kopratasa, Eddie Hamid dan A Aida.
Kempen itu untuk menzahirkan 11 tuntutan gabungan 11 persatuan artis dan
industri kreatif berlangsung dengan aman dan santai sambil diiringi
beberapa persembahan dari artis jemputan.
Acara yang berlangsung tiga jam bermula jam 8 malam, dimulakan dengan
nyanyian lagu ‘Negaraku’ dan disusuli dengan tarian singa dan
persembahan ‘silat panglima’.
Turut hadir menyokong program itu Ketua Penerangan Pemuda Umno Jamawi Jaafar.
Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau berkata sepanjang beliau pernah
menjadi pengerusi biro kebudayaan dan kesenian pergerakan itu, ramai
yang mengetahui perjuangannya dalam industri itu.
Katanya, beliau sentiasa menyokong anak seni dalam memperjuangkan hak
mereka dan sedia menjadi "jambatan" antara penggiat seni dan kerajaan.
Sketsa Grup Poyo
“Untuk maklumat semua, saya akan sentiasa bersama anda dan saya akan
membawa perkara ini kepada kerajaan bagi memaklumkan tentang tujuan
kempen ini.
“Semoga perjuangan anda dapat diteruskan pada masa akan datang dan saya
bersedia menjadi jambatan untuk pihak anda kepada kerajaan," kata Jamawi
yang diringi tepukan gemuruh hadirin.
Kemudian acara diteruskan dengan persembahan sketsa dari kumpulan Teater Grup Poyo.
Dalam sketsa itu, mereka melakonkan mengenai kepayahan para pelakon dan
pekerja industri seni antaranya terpaksa berkerja lebih masa, jadual
tidak menentu dan bayaran rendah.
Himpunan malam tadi turut diserikan lagi dengan persembahan nyanyian
daripada pelakon terkenal Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Fauziah Nawi.
Penganjur juga tidak menyangka kehadiran penyokong mencecah hampir 3,000
orang berbanding jangkaan 1,000 sebelum ini, malah tempat duduk yang
disediakan juga tidak mencukupi.
Bagaimanapun ia tidak menghalang pengunjung yang hadir dan ada di antara
mereka sanggup berdiri dan duduk di sekitar ruang dataran itu.
Walaupun hujan lebat membasahi dataran itu, namun masih ada hadiran yang
menunggu sehingga program selesai tidak lama kemudian, dan ada juga
yang bertempiaran lari mencari tempat berteduh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan