KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Kuala Terengganu dan Marang tidak banyak berubah dengan jumlah mangsa hanya berkurangan sedikit petang ini berbanding pagi tadi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, jumlah mangsa di kedua-dua daerah itu petang ini adalah seramai 327 orang berbanding 353 orang pada sebelah pagi.

Di Kuala Terengganu, pusat pemindahan masih kekal di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak yang menempatkan 250 orang dan di SK Tok Jiring yang menempatkan 60 mangsa.

Di Marang pusat pemindahan yang masih beroperasi ialah di SK Pasir Puteh yang menempatkan 17 orang mangsa.

Keadaan cuaca di Kuala Terengganu sejak pagi adalah mendung dengan hujan lebat sekali-sekala. - Bernama