MALAYSIAKINI
Ketua Polis Daerah (OCPD) dan Ketua Balai akan dikenakan tindakan
tatatertib atau ditukarkan dalam tempoh 24 jam jika premis perjudian
tanpa lesen masih wujud di kawasan mereka.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hoong Soon berkata pada 14
Oktober lepas, beliau mengeluarkan arahan dan memberi tempoh sebulan
kepada semua OCPD dan Ketua Balai untuk memastikan tiada lagi aktiviti
perjudian tanpa lesen di ibu negara.
"Pemantauan bersepadu membabitkan segenap lapisan warga polis Kuala
Lumpur akan berterusan dan Ketua Polis Daerah serta Ketua Balai
dikehendaki membuat deklarasi bagi memastikan tiada lagi aktiviti mesin
perjudian tanpa lesen di kawasan mereka," katanya dalam satu kenyataan
semalam.
Beliau berkata pasukan pemantau dari ibu pejabat termasuk Jabatan
Integriti dan Pemantauan Standard Kontinjen/Bukit Aman akan membuat
pemeriksaan di setiap daerah atau balai polis di Kuala Lumpur.
"Langkah ini sejajar dengan arahan Ketua Polis Negara pada Isnin lepas
agar polis Kuala Lumpur melipatgandakan tindakan serbuan. Hasilnya
daripada 105 premis yang diperiksa, hanya enam buah dilaporkan masih
beroperasi membabitkan lapan tangkapan, 16 mesin judi dan RM955 telah
disita (rampas).
"Dalam pemeriksaan malam tadi, semua premis yang menjalankan aktiviti perjudian berinternet telah pun ditutup," katanya.
Sementara itu, katanya sejak 1 Januari lepas sebanyak 20,845 mesin
perjudian tanpa lesen dirampas melalui 10,666 serbuan yang dilakukan
polis Kuala Lumpur sehingga hari ini.
Law berkata daripada serbuan itu, polis turut merampas sejumlah RM193,576 wang tunai hasil aktiviti perjudian haram berkenaan.
"Berbanding sepanjang tahun lepas, sebanyak 7,561 serbuan dijalankan
dengan tangkapan 1,304 orang dan 6,905 mesin judi serta RM89,809 wang
tunai dirampas," katanya.
Pada tahun ini, beliau berkata ia menunjukkan peningkatan melebihi 40
peratus daripada jumlah serbuan, tangkapan dan rampasan yang dilakukan
polis Kuala Lumpur berbanding tahun lepas.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan